PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Bhd. (Bank Muamalat) menyalurkan sumbangan bernilai RM30,000 kepada 50 keluarga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta kakitangan media yang memerlukan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 bertemakan Malaysia Madani: Rakyat Disantuni.
Inisiatif itu sebagai tanda penghargaan terhadap jasa wira negara, di samping membantu keluarga dalam kalangan asnaf, B40 dan pesakit kronik.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, Hari Kebangsaan bukan sekadar sambutan tetapi peringatan akan pengorbanan generasi terdahulu serta amanah membina masa depan Malaysia yang lebih makmur dan bersatu.
“Melalui sumbangan kepada veteran ATM, pesara PDRM dan rakan media, Bank Muamalat ingin menzahirkan penghargaan kepada mereka yang telah banyak berjasa.
“Kami percaya semangat patriotisme dan kebersamaan ini menjadi pemangkin usaha Bank Muamalat untuk membawakan ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’ kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Selain bantuan kewangan, program Kongsi Rezeki Bersama Wira Negara turut dilaksanakan dengan penglibatan kakitangan bank yang menyumbangkan pek makanan asas kering untuk diagihkan kepada keluarga penerima.
Bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan, Bank Muamalat turut menganjurkan Perhimpunan Hari Kebangsaan 2025 melibatkan warga kerjanya, di samping mengedarkan Jalur Gemilang kepada orang ramai sebagai simbol perpaduan dan semangat cintakan tanah air.
Turut diadakan ialah peraduan media sosial Follow dan Menang Bangga Malaysia yang menawarkan hadiah utama sebuah telefon pintar iPhone 16E.
Aktiviti itu dirangka untuk menggalakkan rakyat Malaysia menzahirkan rasa bangga dan cintakan negara melalui platform digital.
Dalam masa sama, Bank Muamalat turut menyatakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin dengan menyeru masyarakat mendoakan keselamatan, keamanan dan kemerdekaan Palestin. – UTUSAN