Banglo 289 sasar pertumbuhan hasil jualan sehingga 25 peratus tahun Ini

Banglo 289 sasar pertumbuhan hasil jualan sehingga 25 peratus tahun Ini

Ketua Pegawai Eksekutif, Shareen Sukri bersama Ketua Pegawai Operasi, Ain Razali menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Pembukaan Cawangan Ke-3 Restoren Banglo289 di Pusat Membeli-belah IOI City Mall Putrajaya, di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Infra Alfa Sdn. Bhd., pemilik jenama Restoren Banglo 289, optimis hasil jualan tahun ini meningkat sehingga 25 peratus berikutan pembukaan cawangan baharu di IOI City Mall, dekat sini.

Tahun lalu syarikat merekodkan hasil RM24 juta dan cawangan baharu yang terletak di lokasi strategik ini dijangka menjadi penyumbang utama, dengan menarik pengunjung dari Putrajaya, Bangi, Kajang dan kawasan sekitarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Shareen Farzida Sukri, berkata IOI City Mall akan memperkukuh kedudukan Banglo 289 sebagai destinasi pilihan keluarga untuk menikmati masakan kampung autentik dalam suasana moden dan mesra pelanggan.

“Pembukaan cawangan ketiga itu juga bertepatan dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 serta ulang tahun ketiga penubuhan Banglo 289 sejak cawangan pertama di Jalan Raja Chulan dibuka pada 2021.

“Jenama ini yang membawa tagline “Masakan Kampung, Chara Orang Dulu-Dulu” turut mengekalkan tarikan dengan lebih 50 jenis lauk kampung dimasak segar setiap hari, termasuk menu ikonik seperti Daging Salai Masak Lemak Cili Api, Ikan Patin Masak Tempoyak dan pelbagai jenis Asam Pedas,” katanya.

Menurut Shareen, pembukaan cawangan di Putrajaya adalah sebahagian daripada strategi pengembangan jenama untuk membawa pengalaman masakan kampung autentik kepada komuniti bandar pada harga setara restoran segera, tetapi tanpa kompromi dari segi kualiti dan rasa.

Beliau menyifatkan pembukaan ini sebagai sambutan tiga kali ganda kerana bukan sahaja menandakan kejayaan membuka cawangan baharu, malah diraikan bersama ulang tahun ketiga penubuhan syarikat dan sambutan Merdeka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi, Ain Razali menjelaskan semua bahan dimasak menggunakan ramuan segar yang dibeli setiap pagi di pasar, manakala daging salai diasap sendiri bagi mengekalkan keaslian rasa.

“Setiap hidangan disediakan dalam kuantiti kecil secara berperingkat supaya pelanggan dapat menikmati masakan panas terus dari dapur,” katanya.

Dengan perkembangan ini, Banglo 289 terus mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi utama pencinta masakan kampung autentik, sekali gus memperlihatkan potensi besar jenama tempatan untuk bersaing dalam industri makanan dan minuman negara.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN