PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM1.18 bilion, bersamaan dengan 4.75 sen seunit untuk dana harga tetapnya, Amanah Saham Malaysia 2 Wawasan (ASM 2 Wawasan) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2025.
Pengagihan pendapatan itu memanfaatkan 983,505 pemegang unit dengan pegangan 25.5 bilion unit.
ASNB berkata, agihan tersebut merupakan jumlah pulangan sebanyak 4.75 peratus mengatasi penanda arasnya iaitu pulangan Deposit Tetap 12 Bulan Maybank pada paras 2.46 peratus sebanyak 229 mata asas.
Menurutnya, sehingga 25 Ogos 2025, ASM 2 Wawasan mencatatkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM1.24 bilion.
“ASM Wawasan telah menunjukkan ketahanan dengan mengekalkan pengagihan kompetitif sebanyak 4.75 sen seunit, sama seperti tahun sebelumnya.
“Ia dicapai disebalik persekitaran pasaran ekuiti domestik yang mencabar, terutamanya pada separuh pertama 2025, dengan FBM KLCI mencatatkan jumlah pulangan setahun sebanyak -3.5 peratus (sehingga 26 Ogos 2025),” katanya dalam kenyataan.
Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu berkata, prestasi dana itu mencerminkan pendekatan pelaburan berdisiplin PNB, strategi portfolio yang teguh, amalan pengurusan risiko yang kukuh, serta komitmen jangka panjang bagi menjana pulangan yang mampan.
“Kepelbagaian portfolio juga terus berkembang dengan baik, selari dengan Sasaran Perumpukan Aset Strategik dana, dengan peningkatan peruntukan kepada pendapatan tetap dan aset global.
“Sebahagian besar pendapatan dana ini diperoleh daripada keuntungan direalisasi dan pendapatan dividen melalui portfolio yang pelbagai meliputi ekuiti domestik dan global.
“Bagi meningkatkan lagi ketahanan dan kepelbagaian portfolio, dana ini turut memperuntukkan sebahagian asetnya kepada pendapatan tetap, hartanah dan pelaburan ekuiti persendirian,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, pengiraan pengagihan pendapatan ASM 2 Wawasan adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi dana tersebut.
“Pengagihan yang diisytiharkan oleh ASM 2 Wawasan akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 September 2025.
“Urus niaga bagi ASM 2 Wawasan di cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet, akan digantung sementara dari 30 hingga 31 Ogos 2025 bagi tujuan pengiraan agihan pendapatan,” katanya.
Pemegang unit boleh menyambung semula urus niaga melalui portal myASNB dan aplikasi mudah alih myASNB mulai 1 September 2025 atau di mana-mana cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 September 2025.-UTUSAN