AOB pergiat usaha kukuhkan kualiti firma audit

AOB pergiat usaha kukuhkan kualiti firma audit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh kapasiti, keupayaan audit serta tadbir urus firma berdaftar menerusi penerbitan Laporan Pemeriksaan Tahunan 2024.

Menurut laporan itu, AOB melaksanakan pemeriksaan terhadap 40 rakan kongsi dan 40 tugasan audit merentas 13 firma audit, termasuk firma audit utama yang memainkan peranan penting dalam pasaran modal negara.

“Secara keseluruhan, sembilan firma audit utama terbabit mengaudit 76 peratus syarikat awam tersenarai (PLC), merangkumi 95 peratus jumlah permodalan pasaran di Malaysia. 

“Firma-firma itu turut mengaudit 1,319 dana jadual, mewakili 99 peratus daripada nilai aset bersih (NAB) dana berkenaan di seluruh negara,” katanya.

Laporan berkenaan turut menekankan peningkatan kualiti audit apabila kes penguatkuasaan menurun ketara daripada 16 peratus pada 2023 kepada hanya lapan peratus pada 2024. 

“Perkembangan ini mencerminkan usaha positif firma audit dan juruaudit individu dalam meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.

“Selain itu, laporan berkenaan juga memaparkan dapatan berkaitan Penunjuk Kualiti Audit (AQI) yang digunakan AOB bagi menilai prestasi firma audit, termasuk cabaran yang dihadapi seperti kekurangan sumber serta kadar pusing ganti kakitangan yang tinggi.

“AOB menggalakkan firma audit memastikan kualiti audit konsisten merentas semua tugasan, dengan menumpukan kepada penambahbaikan dalam sistem pengurusan kualiti dalaman, pemantauan serta pelaksanaan kawalan dalaman,” jelas laporan itu.

Dalam pada itu, AOB turut memberi tumpuan kepada aspek pemantauan peletakan jawatan juruaudit serta keberkesanan langkah pembaikan yang dilaksanakan oleh firma, sekali gus memastikan tahap integriti dan ketelusan sentiasa terpelihara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN