PETALING JAYA: Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad mengagihkan lebihan Dana Peruntukan Tuntutan (CAF) berjumlah RM219,148 kepada badan-badan amal bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Lebihan itu dikumpulkan daripada dua produk Allianz4All Untuk Semua iaitu PerlindunganKu Allianz4All dan Group Personal Accident Allianz4All.
Sehubungan itu, dana berkenaan disalurkan kepada pelbagai kategori kebajikan termasuk pendidikan, orang kurang upaya (OKU) dan bantuan bencana.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia), Sean Wang, berkata, Allianz Malaysia percaya pada usaha memberi kembali kepada masyarakat dan memberikan impak bermakna melalui produk mereka.
“Inisiatif Allianz4All Untuk Semua mencerminkan komitmen kami terhadap kesejahteraan komuniti dengan melibatkan pemegang polisi secara langsung dalam usaha tanggungjawab sosial korporat kami.
“Kami berbangga dapat menyokong organisasi-organisasi yang terpuji ini serta sumbangan besar mereka kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Antara penerima sumbangan ialah bagi kategori pendidikan adalah Pertubuhan Pendidikan Anak Cahaya Sabah sebanyak RM20,000, Buku Jalanan Chow Kit (RM30,000) dan Yayasan Chow Kit (RM23,000).
Sementara itu, bagi kategori OKU pula adalah Persatuan Rumah dan Perkhidmatan Cheshire Sabah berjunlah RM22,000, Rumah Amal Cheshire Selangor (RM22,000), Persatuan Mobiliti Selangor dan Kuala Lumpur (RM33,000) dan Persatuan Insan Istimewa Cheras Selangor (RM19,148).
Selain itu, untuk kategori bencana alam pula di sumbangkan kepada Persatuan Bantuan Bencana Alam MISAR Malaysia berjumlah RM50,000. – UTUSAN