PETALING JAYA: UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) memulakan operasi loji pracampuran pertamanya yang dilengkapi dengan kemudahan kitar semula di Chenderiang, Tapah, Perak bagi menghasilkan Turapan Asfalt Kitar Semula (RAP).
Dibangunkan melalui anak syarikat perkhidmatan infrastrukturnya, Edgenta PROPEL Berhad, loji ini merupakan langkah strategik dalam usaha syarikat untuk menerajui penyelesaian infrastruktur mampan sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Malaysia.
Beroperasi sejak September 2024, loji pracampuran UEM Edgenta ini menandakan pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur mampan.
Ketua Perkhidmatan Infrastruktur, Raihana Ahmad berkata, loji ini mencerminkan komitmennya dalam menyampaikan penyelesaian infrastruktur yang mampan dan berprestasi tinggi yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pelanggan, tetapi juga kepada negara secara keseluruhan.
“Dengan mengintegrasikan bahan kitar semula dan proses tenaga cekap, kami membantu pelanggan mengurangkan jejak alam sekitar sambil mempromosikan kemampanan jangka panjang serta mengurangkan kesan alam sekitar melalui prinsip kitar semula bahan,” katanya dalam kenyataan.
Dibina dengan kapasiti pengeluaran 240 tan sejam, loji ini mampu mengendalikan pengeluaran asfalt berskala besar dengan cekap.
Ia juga dilengkapi dengan teknologi terkini yang membolehkannya menghasilkan campuran asfalt yang mengandungi bahan kitar semula, menyokong amalan pembinaan yang lebih mampan dan mesra alam.
Penubuhan loji tersebut mencerminkan komitmen kukuh UEM Edgenta terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah asli serta menggalakkan amalan ekonomi kitaran dalam penyelenggaraan jalan raya.
Kemudahan ini diunjurkan dapat mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 15 peratus berbanding kaedah pengeluaran asfalt konvensional, di samping menyokong kerja pemulihan turapan jalan sepanjang lebih 200 kilometer setahun.
Proses tenaga cekap ini turut menjimatkan penggunaan kuasa bagi setiap tan bahan melalui penggunaan semula bahan kitar semula. – UTUSAN










