PETALING JAYA: Jumlah tuntutan pampasan yang dibayar oleh syarikat insurans akibat kemalangan jalan raya meningkat sebanyak 2.1 peratus kepada RM1.65 bilion pada suku pertama tahun ini, berbanding RM1.61 bilion pada suku sama 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Kim Soon berkata, ini didorong oleh peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya dan aktiviti ekonomi yang semakin rancak.
Katanya, jumlah pampasan yang dibayar oleh syarikat insurans akibat kemalangan jalan raya sejak 2020 hingga 2024 dianggarkan kembali ke paras sebelum pandemik iaitu sekitar RM5.5 bilion setahun.
“Sebelum pandemik, jumlah tuntutan yang dibayar sekitar RM5.6 bilion. Pada 2023, ia sekitar RM5.5 bilion. Tahun lalu, berlaku penurunan kepada RM5.2 bilion, tetapi masih merupakan angka yang besar dan tahun ini kita jangka angka itu akan terus meningkat.
“Pertambahan kenderaan di jalan raya, selaras dengan pemulihan ekonomi dan peningkatan pendapatan rakyat selepas pandemik turut menyumbang kepada kenaikan tuntutan insurans.
“Apabila ekonomi pulih, sudah tentu aktiviti bertambah, orang ramai mempunyai lebih pendapatan dan membeli kenderaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 3.14 juta kes kemalangan dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun lalu, dengan purata kira-kira 1,720 kemalangan sehari.
Mengulas lanjut, Chua berkata, tuntutan melibatkan motosikal turut mencatat peningkatan, didorong oleh perkembangan ekonomi gig yang menyaksikan lebih ramai menggunakan motosikal untuk bekerja sebagai penghantar atau penunggang e-hailing.
Beliau menjelaskan, secara keseluruhan tuntutan insurans akibat kemalangan jalan raya menunjukkan peningkatan berterusan dengan motosikal dan kenderaan komersial mencatat kenaikan jumlah tuntutan yang lebih tinggi berbanding kereta persendirian.
“Bagi motosikal, tuntutan meningkat daripada sekitar RM65.4 juta (2019) kepada RM113.8 juta (2023), manakala bagi kenderaan komersial, tuntutan naik daripada RM324.3 juta (2019) kepada RM386.1 juta (2023).
“Kenaikan ini didorong oleh tuntutan Kerugian Sendiri di bawah Kaedah Tukar Ganti (OD-KFK) yang meningkat sebanyak 73.9 peratus bagi motosikal dan 19 peratus bagi kenderaan komersial,” ujarnya.
Sementara itu, Penyelaras Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan dan Kemalangan (VTAREC), Mas Tina Abdul Hamid berkata, insiden kemalangan lebih tinggi berlaku terutamanya di kawasan berpenduduk padat dan bertrafik tinggi.
“Dahulu, ia sering berlaku di Batu Pahat, Johor, tetapi kini ia perlahan-lahan beralih ke Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).
“Penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang kepada jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya yang tertinggi di Malaysia setiap tahun, merangkumi sehingga 70 peratus daripada purata tahunan sebanyak 6,000 kematian,” katanya. – UTUSAN










