Tarif AS: Malaysia kekal berdaya tahan

Tarif AS: Malaysia kekal berdaya tahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia masih berada dalam kedudukan lebih baik berbanding negara serantau seperti Thailand dan Indonesia, walaupun kadar tarif baharu eksport ke Amerika Syarikat (AS) naik sedikit pada 25 peratus, berbanding cadangan awal pada 24 peratus.

Ahli Ekonomi Kenanga Investment Bank Berhad, Afiq Asyraf Syazwan Abdul Rahim berkata, meskipun Vietnam kini memiliki kelebihan daya saing dengan kadar tarif lebih rendah iaitu 20 peratus, Malaysia kekal berdaya tahan hasil daripada kecekapan operasi dan margin keuntungan yang kukuh.

“Reaksi pasaran dijangka sedikit negatif dalam jangka pendek berikutan sentimen pelabur, namun ia dijangka terkawal.

“Ini memandangkan negara ASEAN lain seperti Indonesia dan Thailand tidak mengalami sebarang perubahan kadar tarif,” katanya di sini semalam.

Pengumuman terbaharu Presiden Donald Trump itu sekali gus menandakan permulaan fasa baharu dalam siri tindakan perdagangan terhadap beberapa negara rakan dagang utama Washington.

Malaysia dikenakan kadar tetap 25 peratus, sama seperti Jepun dan Korea Selatan serta Kazakhtan. Afrika Selatan pula dikenakan tarif sebanyak 30 peratus, sementara Laos dan Myanmar mencatat kadar tertinggi sebanyak 40 peratus.

Tindakan ini dijangka memberi kesan langsung kepada eksport Malaysia ke AS, khususnya dalam sektor elektronik, produk getah dan komponen automotif yang merupakan antara penyumbang utama perdagangan dua hala.

Sebelum ini, Trump telah menetapkan had maksimum tarif sebanyak 10 peratus sehingga 9 Julai bagi memberi ruang kepada rundingan perdagangan, namun, pengumuman terbaharu ini, tarikh akhir rundingan telah dilanjutkan kepada 1 Ogos, menerusi perintah eksekutif yang bakal ditandatangani beliau.

Afiq Asyraf menjelaskan, perbezaan kadar tarif yang semakin mengecil mungkin mengurangkan tarikan terhadap pemindahan operasi ke negara tertentu.

Namun, katanya, Malaysia masih mempunyai peluang untuk merebut peluang peralihan rantaian bekalan dalam kalangan negara ASEAN.

“Kadar 25 peratus ini mungkin mengekang minat syarikat semikonduktor yang kini beroperasi di Vietnam untuk berpindah ke Malaysia.

“Kami menjangkakan masih ada ruang perbincangan berkenaan potensi pemindahan dari negara ASEAN lain yang dikenakan kadar lebih tinggi berbanding Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, tumpuan perlu diberikan kepada senarai tarif yang akan dimuktamadkan menjelang awal bulan depan kerana ia akan menentukan hala tuju pelaburan dan strategi serantau industry.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kadar tarif yang dikenakan AS kepada Malaysia akan memberi kesan kepada eksport negara kerana akan berlaku penurunan permintaan terhadap barangan Malaysia.

Kadar tarif baharu itu yang akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos akan menyebabkan jumlah keseluruhan eksport Malaysia sama ada meningkat dengan perlahan atau menurun.

“Ini akan menyebabkan pertumbuhan ekonomi negara menjadi lebih perlahan dan sekali gus menjejaskan industri tempatan.

“Alternatif kepada Malaysia ialah untuk terus berunding dengan AS, pada masa yang sama lebih aktif mencari pasaran alternatif selain AS.

“Langkah ini supaya kita masih mampu mengeksport barangan kita seperti sebelum ini dan juga memperkasakan ekonomi domestik,” katanya.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik UM, Dr. Mohammad Tawfik Yaakob pula berkata, tindakan unilateral AS mengenai tarif ini sememangnya akan mengganggu operasi perniagaan, rantaian bekalan, serta pelaburan di kedua-dua negara.

Namun, katanya, Malaysia telah bersiap sedia untuk menghadapi keadaan ini sebelum tarif dikenakan secara rasmi pada 1 Ogos nanti dengan pelbagai langkah dan usaha seperti rundingan, meneroka kerjasama baharu dan sedia ada yang lebih agresif.

Ini seperti kerjasama dengan China, Rusia dan negara bekas wilayah soviet serta menerusi kerjasama dengan gabungan baharu seperti BRICS dan pada masa sama mengukuhkan potensi peluasan perdagangan ASEAN.

“Tindakan ini mampu mengalih pergantungan Malaysia dengan AS dan mengelakkan situasi pertumbuhan ekonomi negara terjejas.

“Justeru, Malaysia tidaklah begitu sangat terkesan dengan tarif AS dengan pelbagai langkah persediaan yang dilakukan, malah saya yakin dengan kekuatan kerjasama ekonomi perdagangan ASEAN sedia ada yang semakin luar biasa akan menjadi penawar dan benteng kesan kepada kenaikan tarif oleh US ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN