TROPICANA Corporation Berhad (Tropicana) melancarkan unit pameran Skypark Kepler, kediaman berjenama pertama dan paling mewah syarikat itu hasil kerjasama dengan kumpulan hospitaliti antarabangsa, Banyan Group, yang terletak di Lido Waterfront Boulevard (LIDO), Johor.
Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.1 bilion, Skypark Kepler menandakan satu lagi pencapaian penting apabila secara rasmi membuka unit pameran dan galeri hartanah yang dinaik taraf dengan konsep dekorasi moden berinspirasikan ‘coastal chic’ kepada umum di negeri ini.
Pengarah Urusan Bahagian Pemasaran, Jualan dan Pembangunan Perniagaan Tropicana, Ixora Ang berkata, projek itu merangkumi dua menara setinggi 54 tingkat yang menawarkan 1,596 unit kediaman berperabot lengkap bagi Menara A dan berperabot separa untuk Menara B.
Katanya, kediaman tersebut disasarkan kepada golongan profesional muda, keluarga serta pesara dengan pilihan unit berperabot penuh atau separa, menampilkan rekaan dalaman oleh jenama global seperti Samsung dan Kohler.
“Pelan induk LIDO dimulakan beberapa tahun lalu dengan visi menjadikannya metropolis masa depan Johor.
“Sebagai permata mahkota Tropicana di selatan, LIDO bakal menjadi perbandaran ikonik dengan tujuh komponen utama yang merangkumi sambungan rangkaian menyeluruh dan kehidupan bandar pintar yang mampan,” katanya kepada pemberita semasa majlis pelancaran unit pameran Skypark Kepler dan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama MBSB Bank, di sini.
Projek Skypark Kepler merupakan sebahagian daripada pembangunan bersepadu LIDO yang merangkumi tujuh elemen utama iaitu kediaman, komersial, kesihatan, pendidikan, hospitaliti, rekreasi dan kebudayaan.
Ia turut menawarkan pemandangan laut sepanjang 2.5 kilometer (km) dan lokasi strategik berhampiran laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru–Singapura.
Mengulas lanjut, Ixora berkata, Tropicana menerima maklum balas positif sepanjang siri pelancaran awal dan menyasarkan menyiapkan projek itu sepenuhnya menjelang akhir 2029 atau awal 2030,
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan kontraktor bagi mempercepatkan proses pembinaan jika boleh, tanpa menjejaskan kualiti.
“Menariknya, apabila unit diserahkan kelak, sistem RTS dijangka telah beroperasi sepenuhnya, menjadikan masa penyerahan sangat tepat dan strategik,” ujarnya.
Ixora berkata, Skypark Kepler direka bagi menarik pelbagai segmen termasuk eksekutif dan profesional muda, terutamanya rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.
“Ia ditawarkan dengan unit satu bilik bersaiz 463 kaki persegi, dua bilik (667 kaki persegi) dan tiga bilik (807 kaki persegi), masing-masing dilengkapi bilik air yang selesa dan sesuai untuk didiami.
“Pembeli juga merupakan mereka yang mahukan akses mudah ke Singapura dan pusat bandar Johor Bahru tetapi menginginkan kediaman yang lebih tenang dan tidak sesak,” katanya.
Tambahnya, pada masa akan datang, Tropicana merancang untuk memperkenalkan unit lebih besar bagi memenuhi permintaan keluarga dan pasaran yang lebih meluas.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, Tropicana memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Malaysia Building Society Berhad (MBSB Bank) bagi menawarkan penyelesaian pembiayaan istimewa kepada pembeli Skypark Kepler.
Melalui kerjasama itu, pembeli ditawarkan margin pembiayaan kompetitif sehingga 95 peratus, tempoh pinjaman sehingga 35 tahun serta kadar faedah istimewa serendah 3.85 peratus, tertakluk kepada penilaian kredit masing-masing. – UTUSAN










