Sistem MyInvois e-POS bantu PMKS tingkat operasi 

Sistem MyInvois e-POS bantu PMKS tingkat operasi 

SHAHARRUDY OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melancarkan Sistem MyInvois e-POS, iaitu platform digital Point-of-Sale (POS) yang ditawarkan secara percuma kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mencatatkan pendapatan atau jualan tahunan di bawah RM750,000.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDN, Shaharrudy Othman berkata, sistem berkenaan dibangunkan khas bagi meningkatkan kecekapan operasi perniagaan selain membantu pematuhan pelaksanaan e-Invois dalam kalangan PMKS.

“MyInvois e-POS direka bentuk dengan integrasi fungsi utama perniagaan termasuk pengurusan jualan, inventori, pelaporan kewangan serta sokongan pelaksanaan e-Invois secara menyeluruh.

“Melalui sistem itu, LHDN menyasarkan untuk membantu PMKS menjalankan operasi perniagaan serta membantu penyediaan pelaporan kewangan secara lebih sistematik, sekali gus menyokong transformasi digital dalam sektor tersebut,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran dan Sidang Media Pelaksanaan e-Invois bagi Pembayar Cukai Fasa Ketiga, di sini.

Menurutnya, pelaksanaan sistem itu sejajar dengan usaha kerajaan memperluas penggunaan e-Invois dalam kalangan pembayar cukai secara berfasa.

Katanya, LHDN turut menggalakkan pembayar cukai dan pemilik perniagaan yang layak supaya mendaftar dengan agensi itu dan menggunakan sistem MyInvois e-POS yang kini telah dibuka kepada umum secara percuma.

“Pada masa sama, LHDN turut menyediakan Portal MyInvois dan aplikasi mudah alih MyInvois bagi memudahkan pelaksanaan e-Invois dalam kalangan pembayar cukai, terutamanya PKMS. 

“Semua platform ini disediakan secara percuma sebagai inisiatif menyokong kesiapsiagaan pelaksanaan e-Invois di seluruh negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN