PETALING JAYA: Sektor yang berkait dengan teknologi seperti semikonduktor, pengkomputeran awan, kecerdasan buatan (AI) dijangka akan mendapat manfaat daripada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Ini bagi menggalakkan penggunaan teknologi dalam perniagaan dan kehidupan seharian.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, RMK13 bakal menyaksikan peruntukan perbelanjaan pembangunan yang lebih besar bagi menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih terangkum untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Kalau RMK12, peruntukan bagi perbelanjaan pembangunannya adalah RM400 billion, maka bagi RMK13 peruntukannya dijangka ditingkatkan bagi memperkasakan ekonomi domestik terutama dalam usaha untuk meningkatkan taraf ekonomi daripada pendapatan menengah atas kepada golongan pendapatan tinggi dalam tempoh 2026 sehingga 2030.
“Cabaran-cabaran seperti dasar ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang bersifat proteksionis, suasana geopolitik yang tidak menentu serta perkembangan teknologi yang pesat menuntut pihak kerajaan untuk terus fokus dalam usaha pembinaan kapasiti.
“Ini termasuk memastikan sektor pendidikan dan kesihatan sentiasa diangkat supaya akan terus dapat melahirkan sumber tenaga buruh yang produktif serta ekonomi yang kalis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Selain itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil pula berkata, RMK-13 akan memberi penekanan semula kepada sektor pertanian, khususnya dalam aspek keterjaminan makanan negara.
“Kerajaan dijangka mengutamakan semula pembangunan sektor makanan sebagai langkah jangka panjang untuk mengukuhkan sekuriti makanan negara dan mengurangkan kebergantungan kepada import makanan dari luar negara.
“Krisis rantaian bekalan global dan ketidaktentuan cuaca telah menimbulkan keperluan mendesak untuk Malaysia meningkatkan pengeluaran makanan tempatan.
“Kami menjangkakan sektor makanan akan diberi perhatian dalam RMK-13 melalui pelaburan dalam teknologi pertanian dan infrastruktur pengeluaran,” katanya.
Menurut Mohd. Rizal, walaupun sektor semikonduktor mungkin tidak menjadi fokus utama berbanding sektor makanan, ia masih akan mendapat tempat dalam rancangan pembangunan negara memandangkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global komponen elektronik.
“Sektor semikonduktor dijangka mendapat sedikit penekanan sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk menjadikan Malaysia hab teknologi tinggi.
“Namun tumpuannya mungkin lebih tertumpu kepada penyediaan bakat dan automasi pengeluaran,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menjangkakan bahawa sektor kenderaan elektrik (EV) akan menjadi antara penerima manfaat utama dalam RMK-13, selaras dengan agenda tenaga boleh diperbaharui dan peralihan kepada ekonomi rendah karbon.
“EV adalah sektor tenaga bersih yang sedang berkembang pesat di peringkat global. Malaysia perlu mempercepat pembangunan infrastruktur pengecasan dan menarik pelaburan asing untuk memastikan negara tidak ketinggalan dalam gelombang industri hijau ini,” katanya.
Sementara itu, Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, tumpuan terhadap sektor strategik seperti semikonduktor, pusat data, perladangan dan pertanian adalah penting dalam memastikan ketahanan ekonomi negara dalam RMK13.
Menurut Mustafa, kesemua sektor ini akan memberi kesan langsung ke atas prestasi ekonomi Malaysia dalam jangka sederhana dan panjang.
“Kita berada di fasa penting untuk mengukuhkan struktur ekonomi. Tumpuan terhadap sektor teknologi tinggi dan keselamatan makanan adalah kunci untuk daya tahan negara,” katanya.
RMK-13, yang sedang dirangka di bawah kerangka Ekonomi Madani, dijangka membentangkan pelan pembangunan lima tahun bagi tempoh 2026 hingga 2030 dijadual dibentang di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai ini. – UTUSAN










