PETALING JAYA: Penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter dijangka agak positif untuk Petronas Dagangan (PetDag) dengan potensi menyokong permintaan tambahan pada masa hadapan, kata CIMB Securities.
Penganalisisnya, Nurzulaikha Azali berkata, pandangan ini disokong oleh sifat permintaan bahan api yang agak tidak anjal di Malaysia.
“Analisis kami terhadap arah aliran volum runcit sejarah 10 tahun menunjukkan bahawa penurunan 10 peratus hingga 12 peratus dalam purata harga minyak biasanya menghasilkan tindak balas kecil, dengan jumlah volum runcit meningkat kurang daripada satu peratus.
“Tambahan pula, sebarang kenaikan volum tambahan mungkin akan diimbangi sebahagiannya dengan pengecualian untuk bukan warganegara daripada penentuan harga subsidi.
“Warga asing akan menghadapi kadar pasaran tanpa subsidi sekitar RM2.50 seliter, berdasarkan harga semasa,” katanya dalam nota penyelidikan.
Beliau berkata, penurunan harga pam RON95 berlaku secara mengejut, menunjukkan kadar subsidi per liter yang lebih tinggi daripada jangkaan walaupun harga minyak global lemah dan kerajaan sedang melaksanakan langkah pengetatan fiskal.
Katanya, PetDag beroperasi di bawah Mekanisme Harga Automatik (APM) Malaysia, yang memastikan margin bahan api runcit kekal dilindungi, dengan kerajaan membayar balik perbezaan antara harga pasaran dan bersubsidi.
“Akibatnya, kesan pendapatan ke atas Petdag dijangka neutral, dengan margin dilindungi di bawah mekanisme subsidi sedia ada.
“Risiko penurunan utama terletak pada potensi kelewatan dalam pembayaran balik subsidi oleh kerajaan yang meregangkan modal kerja dan aliran tunai PetDag,” ujarnya.
Tambahnya, CIMB Securities menjangkakan penurunan tahunan sebanyak 0.5 peratus hingga 1.0 peratus dalam volum runcit bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027, terutamanya disebabkan oleh pengurangan jualan diesel susulan pelaksanaan penuh rasionalisasi subsidi diesel bermula 10 Jun 2024.
“Walaupun PetDag mencatatkan prestasi kukuh pada suku pertama 2025 yang didorong oleh margin yang sihat dalam segmen komersial, kami percaya momentum itu mungkin tidak akan berterusan, berikutan aktiviti ekonomi yang lebih lemah dan kelembapan pasaran yang berterusan yang boleh menekan keuntungan bahan api komersial,” jelasnya.
Beliau mengekalkan penarafan ‘pegang’ ke atas syarikat itu dengan harga sasaran (TP) RM20.90 sesaham, sambil menyatakan pelarasan harga RON95 lebih bertujuan meringankan tekanan kos sara hidup daripada secara signifikan merangsang permintaan bahan api oleh peruncit. – UTUSAN










