Proton X50 baharu diperkenalkan pada media

Proton X50 baharu diperkenalkan pada media

PROTON X50 baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton Holdings Berhad (Proton) memperkenalkan Proton X50 terbaharu kepada pihak media Malaysia sebagai persediaan syarikat untuk pelancaran model pertamanya bagi tahun 2025. 

Pembuat kereta nasional itu berkata, dengan lebih 134,000 unit terjual sejak diperkenalkan pada Oktober 2020, kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-B ini telah menjadi model nombor satu dalam kelasnya selama lima tahun berturut-turut. 

“Kini ia menerima kemas kini menyeluruh yang menampilkan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2 yang dinaik taraf, sistem IHU yang dipertingkatkan dengan skrin besar 14.6 inci dan buat pertama kalinya, pengecaman suara (VR) Bahasa Melayu.

“Tersedia dalam tiga varian iaitu Executive, Premium dan Flagship, Proton bakal memulakan aktiviti pra pelancaran tidak lama lagi menjelang pelancaran rasmi model ini. 

“Ia bertujuan untuk memperkenalkan ciri-ciri baharunya serta menerima tempahan awal daripada bakal pembeli,” katanya dalam kenyataan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Zhang Qiang berkata, sebagai model SUV terkemuka dalam rangkaian Proton, pihaknya meletakkan harapan tinggi terhadap X50 terbaharu untuk meneruskan legasi kecemerlangan model ini. 

“Dengan menawarkan pelanggan peningkatan teknologi dan prestasi yang menyeluruh bersama ciri-ciri mewah dan menggabungkannya dengan gaya luaran baharu yang menarik dan sporty, tawaran terbaharu ini akan menarik minat pelanggan dari semua lapisan.

“X50 terbaharu akan mengukuhkan kedudukan jenama yang kukuh sambil menarik pelanggan dari keluarga kecil dan golongan profesional muda hingga pembeli kali pertama dan penduduk bandar yang celik teknologi yang mencari pengalaman pemanduan yang terhubung dan yakin,” katanya.

Proton berkata, X50 terbaharu menampilkan reka bentuk luaran yang diperbaharui semula dengan gril dan bampar hadapan baharu, spoiler belakang yang lebih sporty, empat saluran ekzos, skema warna dwi-tona dan set rim aloi bertekstur yang direka bentuk baharu. 

Katanya, bahagian dalaman kenderaan juga telah dinaik taraf dengan ketara untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih premium dan berpusatkan pemandu, termasuk bahan sentuhan lembut, konsol lantai terapung, column shifter yang diinspirasikan daripada kereta mewah dan lampu suasana irama 72 warna. 

“Pelanggan boleh memilih daripada empat warna sedia ada, Snow White (putih), Passion Red (merah), Jet Grey (kelabu), Armour Silver (perak) dan penambahan baharu yang menarik, Teal Bayou Green (hijau).

Tambahnya, dikuasakan oleh gabungan enjin i-GT 1.5 TD baharu yang canggih dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan yang responsif, model terbaharu ini menjana kuasa 133 kW dan 290 Nm tork. 

“Ia mampu memecut dari 0 ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam hanya 7.6 saat, mengatasi X50 2025 sebanyak 0.3 saat. Dengan peningkatan ketara 4.7 peratus dalam kecekapan bahan api, ia menetapkan penanda aras baharu untuk prestasi dan ekonomi dalam kelasnya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN