Polymer Link bakal tersenarai di Pasaran ACE

Polymer Link bakal tersenarai di Pasaran ACE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polymer Link Holdings Bhd., pengeluar serbuk plastik dan masterbatch warna bagi aplikasi pengacuan putaran telah menerima kelulusan prinsip daripada Bursa Malaysia Securities Bhd untuk disenaraikan di Pasaran ACE.

Syarikat yang ditubuhkan pada 2011 itu merancang untuk menggunakan hasil penyenaraiannya bagi memperluas kapasiti pengeluaran serta mengukuhkan kehadiran serantau dan antarabangsa, khususnya di Australia dan Poland.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Koh Song Heng berkata, kelulusan tersebut menandakan satu pencapaian penting dalam usaha pengukuhan jenama Polymer Link di pasaran global.

“Dengan kredibiliti tambahan sebagai syarikat tersenarai, kami optimis terhadap keupayaan mempercepatkan pertumbuhan dan memperkukuh kedudukan dalam pasaran serantau. 

“Dana yang diperoleh daripada Tawaran Awam Permulaan (IPO) itu akan digunakan bagi pengembangan fasiliti fizikal di Australia, pembelian barisan pembuatan baharu di Malaysia, serta pelaburan dalam modal kerja untuk menyokong jualan ke Poland. 

“Inisiatif strategik ini adalah penting untuk menyokong fasa peningkatan dan penghantaran pelanggan kami yang seterusnya,” katanya dalam kenyataan. 

Polymer Link kini beroperasi melalui anak syarikatnya di Malaysia, Filipina, India, Australia dan Amerika Syarikat, dengan tiga kilang masing-masing di Selangor, Pampanga (Filipina) dan Daman (India), serta pejabat jualan di Australia dan Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2024, kumpulan mencatatkan hasil kira-kira RM145.4 juta, dengan pasaran Filipina (42.3 peratus), India (25.9 peratus), Australia (13.6 peratus) dan Malaysia (7.5 peratus) menjadi penyumbang utama.

Menurut laporan Penyelidikan Pasaran Bebas oleh Vital Factor Consulting, saiz pasaran serbuk polietilena di Malaysia bernilai RM2.8 bilion pada 2023, dengan Polymer Link menguasai kira-kira 1.0 peratus daripada pegangan pasaran.

IPO Polymer Link akan melibatkan terbitan awam sebanyak 97.1 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan 24.1 juta saham sedia ada, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 121.2 juta saham biasa atau 21.6 peratus daripada modal selepas penyenaraian.

Hong Leong Investment Bank Bhd bertindak selaku penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal bagi penyenaraian tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN