Premis proses petrokimia terbesar di Johor diserbu, 255 PATI ditahan

Premis proses petrokimia terbesar di Johor diserbu, 255 PATI ditahan

JIM Johor menahan 255 PATI yang dipercayai bekerja di sebuah premis memproses bahan petrokimia terbesar di Johor dalam serbuan di Pasir Gudang, Selasa lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebuah premis yang menjalankan kerja pemprosesan dan pembinaan struktur bahan petrokimia terbesar di negara ini dipercayai mendapatkan khidmat pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai pekerja.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, seramai 255 PATI ditahan dalam serbuan dibuat terhadap premis berkenaan di Pasir Gudang, di sini Selasa lalu.

Katanya, serbuan Ops Mahir tersebut dijalankan selepas pihaknya menerima aduan awam terdapat lambakan pekerja asing di premis berkenaan.

“Seramai 664 individu termasuk warga tempatan dan warga asing telah diperiksa, dengan seramai 255 warga asing ditahan melibatkan rakyat China, Bangladesh, Indonesia, Pakistan dan Nepal.

“Turut ditahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang merupakan pengurus dan pegawai sumber manusia di tapak projek tersebut. Kesemua suspek berusia antara 21 hingga 63 tahun,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Tambah Mohd. Rusdi, enam notis untuk hadir turut dikeluarkan terhadap individu-individu terlibat sepanjang operasi tersebut dijalankan bagi membantu siasatan. 

“Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63; serta Peraturan 11(7)(a) dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN