JOHOR BAHRU: Seorang jurutera wanita kerugian RM178,200 selepas terpedaya pelaburan saham dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan dibuat mangsa berusia 33 tahun, kelmarin.
Beliau berkata, wanita yang bekerja dengan syarikat swasta mendakwa, melihat iklan pelaburan menerusi aplikasi Telegram pada Mac lalu sebelum menghubungi pihak yang menawarkan skim pelaburan tersebut.
“Mangsa kemudiannya diarah melakukan 19 transaksi ke dalam tiga akaun bank berbeza antara 20 Mac hingga 15 Julai 2025 dengan jumlah keseluruhan RM178,200.
“Mangsa menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan hasil pelaburan dan tidak lagi dapat menghubungi pihak terbabit,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Sohaimi berkata, semakan menerusi portal Semak Mule oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mendapati, ketiga-tiga akaun terlibat mempunyai 21 rekod laporan polis berkaitan penipuan pelaburan.
“Polis turut menjalankan siasatan lanjut termasuk meneliti penglibatan ‘keldai akaun’ dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun terbabit,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan sebarang bentuk pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.
“Pastikan semakan dilakukan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) serta elakkan daripada mendedahkan maklumat peribadi atau perbankan kepada pihak tidak dikenali.
“Gunakan portal Semak Mule untuk menyemak akaun yang mencurigakan sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN











