PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) disenaraikan pada kedudukan tertinggi di Malaysia dan tempat ke-17 di peringkat global dalam kalangan Dana Kekayaan Negara (SWF) pada Papan Skor SWF GSR 2025 yang diterbitkan oleh Global SWF.
Papan Skor GSR menilai lebih 200 institusi pelaburan milik negara di seluruh dunia, dengan menilai prestasi mereka dalam amalan tadbir urus, komitmen kelestarian dan daya tahan institusi mereka.
PNB berkata, kumpulan memperoleh markah keseluruhan sebanyak 84 peratus termasuk skor sempurna 10/10 dalam aspek kelestarian mengiktiraf tahap ketelusan, sasaran iklim strategik dan pengintegrasian alam sekitar sosial dan tadbir urus (ESG) yang konsisten dalam operasi dan pelaburan.
“Kedudukan ini mencerminkan kemajuan ketara yang telah dicapai oleh PNB dalam memperkukuh tadbir urus, menerapkan kelestarian dalam proses pelaburan dan meningkatkan daya tahan jangka panjang institusi.
“Prestasi PNB adalah sejajar dengan kemajuan 10 Komitmen ESG yang diperkenalkan pada 2022 sebagai panduan kepada perjalanan kelestarian organisasi.
“Antara pencapaian penting setakat ini termasuk mengurangkan jejak karbon operasinya melalui strategi Reduce, Replace, Offset (R2O) yang merangkumi inisiatif kecekapan tenaga dan pengurangan sisa, penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan menggalakkan amalan tempat kerja lestari,” katanya dalam kenyataan.
Sehingga laporan terkini, PNB telah mencapai pengurangan sebanyak 98 peratus dalam pelepasan Skop 1 dan 2 berbanding garis dasar 2022 dan berada di landasan yang tepat untuk mencapai komitmen Perusahaan Sifar Bersih menjelang 2025.
Selain itu, PNB terus meningkatkan usaha untuk penyahkarbonan portfolio pelaburannya, termasuk berhubung dengan penyumbang pelepasan tertinggi dan syarikat strategik dalam portfolionya.
“Ini untuk meningkatkan aspirasi iklim dan ketelusan terhadap strategi serta pelan penyahkarbonan, mengintegrasikan pertimbangan iklim ke dalam pengundian proksi kami dan menerapkan tingkah laku pelaburan prihatin karbon dalam proses membuat keputusan kami,” katanya.
Melalui usaha-usaha ini, kumpulan menyasarkan untuk membina portfolio pelaburan yang berdaya tahan terhadap iklim yang dapat menyokong dan pertumbuhan nilai jangka panjang selaras dengan peralihan kepada ekonomi rendah karbon.
Selain itu, komitmen ketiga adalah mempunyai RM10 bilion dalam aset hijau dan peralihan baharu menjelang 2030.
“Setakat ini, PNB telah menggerakkan sebanyak RM5.5 bilion ke dalam pelaburan yang sejajar dengan agenda hijau dan peralihan, termasuk bangunan hijau, tenaga boleh diperbaharui dan pengangkutan bersih.
Papan Skor GSR Global SWF berfungsi sebagai penanda aras bagi penerapan dan akauntabiliti ESG dalam kalangan institusi pelaburan milik negara bebas.
Kedudukan kukuh PNB ini menyerlahkan kepimpinannya di rantau ini dalam membentuk ekosistem kewangan yang lebih lestari dan inklusif. – UTUSAN










