PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) melalui anak syarikatnya, Petronas LNG Ltd. memeterai Perjanjian Jual dan Beli (SPA) selama 20 tahun dengan Venture Global, sebuah syarikat tenaga berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) bagi pembekalan satu juta tan setahun (MTPA) gas asli cecair (LNG).
Menerusi perjanjian tersebut, bekalan LNG akan diperoleh daripada fasa pertama projek CP2 LNG, iaitu kemudahan berkapasiti 14.4 MTPA yang sedang dibangunkan Venture Global di Cameron Parish, Louisiana, AS.
Perjanjian jangka panjang itu bakal mengukuhkan lagi portfolio LNG global syarikat berkenaan, selain mencerminkan komitmennya dalam menyediakan bekalan tenaga yang mampan dan boleh dipercayai bagi memenuhi permintaan global yang semakin meningkat.
Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG di Petronas, Shamsairi M. Ibrahim berkata, kerjasama itu akan memberi keanjalan dan fleksibiliti yang lebih besar kepada Petronas dalam aspek bekalan.
“Ini sekali gus memperkukuh keupayaan syarikat untuk memenuhi keperluan pasaran di rantau utama dunia.
“Seiring peningkatan permintaan tenaga dan perubahan landskap pasaran LNG global, keutamaan kami adalah untuk menyediakan bekalan yang konsisten serta nilai jangka panjang kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, perjanjian tersebut turut menggambarkan usaha berterusan Petronas untuk memperluaskan capaian bekalan menerusi kerjasama strategik industri.
“Ini seterusnya membolehkan kami bertindak lebih tangkas dalam menghadapi perubahan pasaran,” katanya.-UTUSAN











