PETALING JAYA: Anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2025 pada 4.5 peratus disifatkan sebagai petunjuk bahawa dasar-dasar pemulihan pasca pandemik serta inisiatif fiskal dan pelaburan mula membuahkan hasil.
Pakar Ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, ini mencerminkan dorongan kukuh daripada pelaksanaan projek pelaburan swasta dan awam serta kesinambungan dasar pembangunan jangka panjang seperti pelan induk nasional.
“Isyarat ini penting untuk mengekalkan keyakinan pelabur dan pengguna, selain menunjukkan Malaysia sedang memanfaatkan permintaan global dan memperkukuh pasaran domestik sebagai enjin pertumbuhan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Minggu lalu, anggaran awalan yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan ekonomi Malaysia diunjurkan tumbuh 4.5 peratus pada suku kedua 2025, meningkat sedikit berbanding 4.4 peratus pada suku sebelumnya.
DOSM berkata, momentum pertumbuhan terus kekal pada bulan April dan Mei dengan jangkaan prestasi lebih kukuh dicatatkan pada bulan Jun.
Abu Sofian berkata, walaupun eksport elektrik dan elektronik (E&E) memberi impak positif kepada pertumbuhan, ketergantungan kepada segmen ini perlu dipelbagaikan bagi mengelak risiko keterdedahan kepada turun naik global, khususnya dari Amerika Syarikat (AS) dan China.
Katanya, BNM turut mengakui kewujudan risiko penurunan akibat kelembapan perdagangan global, sentimen lemah dan pengeluaran komoditi yang tidak menepati jangkaan.
“Ini menunjukkan pendekatan berwaspada oleh BNM dalam menilai ketidaktentuan luaran.
“Oleh itu, penting bagi kerajaan memperkukuh pasaran domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada sektor komoditi yang terdedah kepada faktor geopolitik dan perubahan iklim,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, peningkatan pendapatan isi rumah dan kestabilan pasaran buruh akan terus menyokong penggunaan domestik dan menjadi komponen utama kepada pertumbuhan KDNK.
“Namun, cabaran kos sara hidup yang tinggi perlu ditangani agar tidak menjejaskan kuasa beli rakyat,” katanya.
Dalam konteks pasaran kewangan, beliau menjangkakan ringgit akan kekal stabil dalam jangka sederhana.
“Bagaimanapun, perlu diberi penekanan kepada keperluan memperkukuh aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI), meningkatkan keyakinan pelabur dan mengekalkan kestabilan politik bagi meredakan tekanan terhadap pasaran pertukaran asing,” katanya. – UTUSAN