LANGKAWI: Model pembangunan luar bandar yang digunakan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menjadi contoh kepada negara-negara Asia dan Afrika.
Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd. Khair Razman Mohamed Annuar berkata, model itu dikongsikan dalam Kursus Antarabangsa Inclusive Rural and Regional Development in Malaysia yang dianjurkan Institut Kemajuan Desa (Infra) bersama African-Asian Rural Development Organization (AARDO).
“KKDW melalui Infra telah dipilih untuk memberikan kursus kepada 20 orang pegawai kerajaan dari 34 buah negara anggota AARDO dengan fokus kepada pembangunan luar bandar.
“Program ini diadakan sehingga 2027 dan kita akan ketengahkan modul latihan yang dilengkapi dengan pencapaian yang telah dibuktikan berjaya dilaksanakan, dan bukan sekadar penerangan polisi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Antarabangsa Inclusive Rural and Regional Development in Malaysia di sini, malam tadi.
Muhd. Khair Razman berkata, pembangunan desa perlu bersifat holistik dan tidak boleh semata-mata bergantung kepada pembangunan infrastruktur sahaja.
Jelasnya, KKDW telah melaksanakan program pembangunan desa yang merangkumi elemen TVET, keusahawanan, pembangunan sosio ekonomi bagi meminimumkan migrasi dari desa ke bandar.
Tambah beliau, pihaknya berharap AARDO dapat bekerjasama rapat dengan negara-negara Asean yang juga menekankan pembangunan luar bandar mampan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG2030).
Sementara itu, Setiausaha Agung AARDO, Dr. Manoj Nardeosingh turut memuji program perubahan luar bandar yang digunakan oleh Malaysia.
“Kita berkongsi polisi-polisi kerajaan, rangka kerja strategik di antara satu sama lain dan akan melihat bagaimana program ini akan dilaksanakan di negara masing-masing,” katanya. – UTUSAN











