Paramount jangka pasaran hartanah suram pada separuh kedua

Paramount jangka pasaran hartanah suram pada separuh kedua

JEFFREY CHEW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Paramount Corporation Bhd.  (PCB) menjangkakan keadaan pasaran hartanah yang suram akan berterusan pada separuh kedua tahun ini, walaupun Bank Negara Malaysia telah menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus pada Julai.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Jeffrey Chew berkata, walaupun penurunan kadar tersebut memberikan sedikit kelegaan, ia tidak mungkin dapat merangsang sentimen pembelian rumah secara ketara dalam jangka masa terdekat.

“Pemotongan sebanyak 25 mata asas membantu dari segi kos pinjaman kami dan kemampuan pengguna, tetapi ia masih tidak mencukupi untuk mendorong perubahan besar dalam tingkah laku pembelian,” katanya semasa taklimat media Paramount di sini, semalam.

Jeffrey berkata, pemotongan kadar satu kali sahaja tidak mungkin memberi impak besar kepada pasaran, namun sekiranya terdapat dua lagi pemotongan atau satu pemotongan yang lebih besar sebanyak 50 mata asas, ia berpotensi menjadi pemangkin yang bermakna kepada sektor hartanah.

“Terdapat beberapa cabaran sedang dihadapi seperti subsidi bahan api, tarif dan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), yang menyebabkan pembeli menjadi lebih berhati-hati.

“Walaupun kami tidak menjangkakan kemerosotan besar, kami juga tidak melihat pemangkin yang kukuh akan muncul pada separuh kedua tahun ini,” katanya.

Jeffrey berkata, pemaju menjangkakan sedikit pertumbuhan pada 2025, namun ketidaktentuan terutamanya berkaitan tindakan yang mungkin diambil oleh Presiden Amerika Syarikat boleh menyebabkan sasaran jualan syarikat disemak semula.

Dalam pada itu, belau berkata, Paramount jumlah jualan terkini syarikat mencapai sekitar RM600 juta untuk tahun ini setakat ini, namun masih belum mencapai sasaran jualan tahunan. 

Jeffrey berkata, sebahagian besar daripada jurang sasaran ini datang daripada penjualan menara komersial bernilai sekitar RM170 juta hingga 200 juta yang masih belum dapat direalisasikan disebabkan pasaran hartanah komersial yang lembap.

“Pasaran komersial masih belum pulih sepenuhnya. Justeru, kami kini memberi tumpuan kepada mendapatkan penyewa berbanding terus menekan penjualan aset komersial,” katanya.

Jelas beliau, laporan prestasi pasaran hartanah separuh pertama tahun ini turut mencerminkan kelembapan yang dirasai oleh syarikat. 

Menurut Jeffrey, kelembapan ini menunjukkan bahawa Paramount adalah pemain utama dalam pasaran. 

“Apabila pasaran menurun dan kita turut terkesan, itu menunjukkan kita cukup besar dan diwakili secara meluas dalam pasaran. Ini bukan isu dalaman, tetapi realiti pasaran keseluruhan,” katanya. 

Jelasnya, antara faktor utama yang menyumbang kepada kelembapan ini termasuk kebimbangan terhadap tarif, kenaikan kos berikutan penyasaran subsidi bahan api serta pelaksanaan semula SST. 

Katanya, keadaan ini menyebabkan pengguna dan pelabur lebih berhati-hati, seterusnya menekan permintaan hartanah.

Tambahnya, Paramount tidak menolak kemungkinan untuk menyemak semula sasaran jualan tahunannya sekiranya keadaan pasaran tidak menunjukkan pemulihan yang signifikan dalam tempoh separuh kedua 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN