PETALING JAYA: Penyedia penyelesaian kejuruteraan bersepadu, Oxford Innotech Berhad (OXB) membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 36 sen sesaham, premium 24.1 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 29 sen sesaham.
Pengarah Urusan OXB, Ng Thean Gin berkata, penyenaraian syarikat di Pasaran ACE merupakan detik penting yang membuka ruang kukuh untuk memperluaskan operasi dan mengukuhkan kehadiran terutamanya dalam sistem bangunan modular, sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.
“Kami menyasarkan untuk memperluas penawaran produk dan mengembangkan asas pelanggan dalam industri ini melalui strategi jualan silang kepada pelanggan sedia ada,” katanya selepas majlis penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE di sini, semalam.
Menurutnya, OXB kini dalam proses membina sebuah kilang baharu dinamakan Penang Science Park untuk fasa kedua seluas 67,722 kaki persegi, menjadikan jumlah ruang pembuatan kepada 192,896 kaki persegi apabila siap pada 2027.
“Fasa pertama telah siap kira-kira dua bulan lalu dan fasa kedua dijangka akan menyokong pertumbuhan berterusan dalam tempahan bagi sistem bangunan modular, industri semikonduktor serta industri elektrik dan elektronik (E&E).
“Pembinaan fasa kedua dijangka bermula pada suku pertama 2026 dan disasarkan siap pada suku pertama 2027. Kemudahan baharu ini dibina bagi memenuhi jangkaan permintaan daripada pelanggan dalam sektor sistem bangunan modular, E&E dan semikonduktor.
“Pada masa sama, kami turut membeli mesin dan peralatan baharu bagi melengkapkan sistem sedia ada dan mengoptimumkan kapasiti pengeluaran sejajar dengan skala perniagaan,” katanya.
Dengan kapasiti pembuatan dan keupayaan kejuruteraan yang semakin berkembang, OXB berada pada kedudukan yang kukuh untuk merebut peluang dalam pasaran teras sambil kekal komited menyediakan penyelesaian inovatif dan berkualiti tinggi.
Daripada jumlah dana sebanyak RM41.6 juta yang diperoleh melalui penyenaraian, OXB memperuntukkan RM23.1 juta (55.5 peratus) untuk pembinaan kilang baharu, RM11.2 juta (26.9 peratus) bagi pembelian dan pembiayaan semula mesin baharu, RM3.3 juta (8.0 peratus) untuk modal kerja am dan RM4 juta (9.6 peratus) menampung perbelanjaan penyenaraian.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelanggan utama syarikat pada masa ini, terdiri daripada sistem bangunan modular, industri semikonduktor serta pelanggan industri berkaitan.
“Jadi, pengembangan kapasiti kilang baharu ini tertumpu kepada segmen-segmen tersebut.
“Setakat ini juga kami melihat permintaan yang agak ketara bagi penghantaran sampel produk baharu daripada industri semikonduktor.
“Sukar untuk memberi angka tetap, namun kapasiti pengeluaran termasuk fasa dua ini dijangka sekurang-kurangnya dua kali ganda daripada apa yang kami hasilkan sekarang,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, tiada perancangan untuk berkembang ke luar Malaysia dalam masa terdekat.
“Dalam masa terdekat, tiada. Tetapi pasukan pemasaran kami memang aktif menyertai pameran dan ekspo perdagangan bagi menarik lebih ramai pelanggan antarabangsa. Namun, buat masa ini, operasi pengeluaran masih tertumpu di sini (Malaysia),” katanya. – UTUSAN










