PETALING JAYA: Penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) adalah langkah strategik untuk menyokong pertumbuhan ekonomi domestik, dengan memberikan lebihan pendapatan terhadap isi rumah susulan pengurungan bayaran bulanan pinjaman.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, penurunan OPR akan memberi impak segera kepada sektor perbankan, terutamanya bagi pelanggan yang menggunakan kadar pembiayaan berubah.
“Kadar faedah yang lebih rendah bermaksud bayaran bulanan pinjaman akan berkurang. Ini secara langsung meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah dan mengurangkan kos pembiayaan bagi firma,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau menambah, langkah ini mampu merangsang dua komponen utama dalam ekonomi domestik iaitu perbelanjaan pengguna dan pelaburan sektor swasta yang merupakan pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Situasi inflasi semasa yang terkawal ini mencatatkan hanya 1.2 peratus pada bulan Mei menunjukkan tekanan harga bukanlah isu utama buat masa ini.
“Justeru, BNM mempunyai ruang untuk melonggarkan dasar monetari tanpa menimbulkan kebimbangan inflasi,” katanya.
Mohd. Afzanizam berkata, semasa pandemik Covid-19, OPR diturunkan ke paras terendah iaitu 1.75 peratus, namun dinaikkan secara berperingkat apabila pemulihan ekonomi mula kukuh mencecah 3.00 peratus.
“Ini membuktikan pendekatan Bank Negara Malaysia (BNM) yang bersifat adaptif dan responsif terhadap keadaan ekonomi semasa,” katanya.
Mengenai kestabilan kewangan, beliau menyatakan bahawa kedudukan rizab antarabangsa BNM yang kukuh melebihi AS$120 bilion dan permintaan berterusan terhadap Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) mencerminkan keyakinan pelabur terhadap pengurusan ekonomi negara.
“Penurunan OPR juga boleh meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap ringgit, memandangkan kredibiliti BNM yang konsisten dalam mentadbir dasar monetari. Ini memberi mesej bahawa negara komited terhadap kestabilan ekonomi dan pelaburan,” jelasnya.
Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, penurunan OPR memberi ruang kepada pengguna untuk meminjam dengan kadar yang lebih rendah, ini akan menjadikan penawaran wang di dalam ekonomi meningkat.
“Penurunan ini akan menggalakkan perbelanjaan dengan syarat polisi pinjaman oleh pihak bank tidak semakin ketat. Pelaburan mungkin akan sedikit berkurang kerana kadar pulangan semakin rendah,” katanya.
Jelas beliau, analisis jangka panjang BNM menunjukkan bahawa permintaan agregat dalam ekonomi Malaysia mencatatkan penurunan berikutan tekanan inflasi yang semakin ketara, terutamanya disebabkan kenaikan harga barang keperluan.
“OPR juga diturunkan untuk mengimbangi kenaikan kos sara hidup. Namun dalam jangka panjang penurunan OPR berterusan kurang baik kerana ia akan mengurangkan tabungan di dalam ekonomi kita serta menggalakkan perbelanjaan ‘bukan keperluan’ oleh golongan kaya kerana mereka kurang menabung,” katanya.
Sementara itu, CGS International Research (CGSI) meramalkan BNM tidak lagi melaksanakan pemotongan OPR pada tahun ini kecuali ada risiko penurunan ekonomi.
Firma penyelidikan berkata, langkah Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bank pusat itu menunjukkan ia beralih daripada pendekatan berlembut kepada neutral dalam menilai situasi semasa.
“Perubahan tindakan mereka itu adalah jelas dapat dilihat ketara berbanding nada berwaspada yang diperhatikan ketika mesyuarat sebelumnya pada 8 Mei 2025,” katanya. – UTUSAN










