MYTV Mana-Mana Premium kini boleh ditonton di Google TV

MYTV Mana-Mana Premium kini boleh ditonton di Google TV pada RM6.90 sebulan

MOHAMMAD Helmi Harith menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran MYTV Mana Mana UNLOCKED, di sini, semalam. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: MYTV Broadcasting Sdn. Bhd. melancarkan pakej hiburan terbaharu, MyTV Mana-Mana Premium yang menawarkan pengalaman penstriman berkualiti dengan harga mampu milik bermula RM 6.90 sebulan.

Pada 2023, MyTV Mana-Mana dilancarkan secara percuma dan telah mencatat lebih 800,000 muat turun, kekal tersedia kepada semua pengguna. 

Pakej percuma itu, memberikan akses kepada 22 saluran TV langsung serta pelbagai kandungan atas permintaan (VOD) yang merangkumi berita, hiburan tempatan dan antarabangsa serta hanya boleh dilihat di laman web dan aplikasi di telefon bimbit.

Sementara itu, MYTV Mana-Mana Premium pula ditawarkan bermula pada harga serendah RM6.90 sebulan, membolehkan pengguna menikmati 22 saluran langsung dan premium termasuk kandungan VOD terkini, filem pecah panggung dan program eksklusif di bawah label MYTV Originals serta menontonnya di Google TV dan Smart TV.

Ketua Pegawai Eksekutif MYTV, Muhammad Helmi Harith berkata, pakej premium tersebut dibangunkan bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang semakin celik digital, dengan penawaran kandungan merangkumi saluran TV Langsung Premium, VOD dan kandungan eksklusif di bawah jenama MYTV Originals.

“Pelancaran MYTV Mana-Mana Premium merupakan pencapaian penting bagi kami dalam membina ekosistem penstriman yang menyeluruh untuk semua segmen masyarakat.

“Kami mahu memastikan bahawa hiburan berkualiti tinggi dapat diakses oleh semua, tidak kira di bandar mahupun luar bandar, pada harga yang sangat berpatutan,” katanya dalam majlis pelancaran pakej premium itu di sini, semalam.

Tambahnya, antara kandungan menarik yang ditawarkan termasuk filem pecah panggung, drama tempatan dan antarabangsa, sukan, anime, kartun kanak-kanak, dokumentari serta drama Korea dan Indonesia yang semakin mendapat tempat dalam kalangan penonton Malaysia.

Katanya, platform tersebut turut memperkenalkan inisiatif MYTV Originals iaitu kandungan asli terbitan tempatan hasil kolaborasi bersama pencipta kandungan Malaysia bagi memperkasakan bakat serta cerita tempatan ke peringkat lebih luas.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Operasi MYTV, Syaffandi Shahrom berkata, MYTV Mana-Mana Premium disasarkan kepada pelbagai kategori pengguna termasuk pelajar, keluarga serta individu yang menggunakan telefon pintar, tablet mahupun TV pintar berasaskan Google TV.

“Dengan kadar langganan rendah, kami yakin semua rakyat Malaysia boleh menikmati kandungan kami secara mudah dan fleksibel. Hiburan premium tidak semestinya datang dengan harga yang tinggi,” katanya.

Untuk makluman, pengguna juga boleh memilih pelan langganan MYTV Mana-Mana Premium yang fleksibel antara sebulan, tiga bulan mahupun setahun, sekali gus memberi nilai dan penjimatan kepada pelanggan jangka panjang. 

Platform MYTV Mana-Mana kini boleh diakses menerusi pelbagai peranti dan mereka yang berminat boleh memuat turun aplikasi tersebut atau melayari saluran rasmi MYTV untuk maklumat lanjut mengenai pelan langganan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×