MYStartup Accelerator tarik RM5.5 juta pelaburan

MYStartup Accelerator tarik RM5.5 juta pelaburan

HARI Demo MYStartup Accelerator.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program MYStartup Accelerator berjaya menarik pelaburan hampir RM5.5 juta kepada lebih 50 syarikat pemula sejak dilancarkan melalui lima kohort, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab syarikat pemula serantau.

Menerusi Kohort Kelima iaitu Hari Demo, sebanyak lapan syarikat pemula terbaik dipilih daripada 747 permohonan bagi mempersembahkan inovasi mereka yang merangkumi bidang seperti kecerdasan buatan (AI), akuakultur, infrastruktur kenderaan elektrik (EV) dan teknologi runcit pintar.

Daripada jumlah itu, lima syarikat menerima hadiah wang tunai daripada Cradle, manakala empat syarikat lagi bakal menerima pelaburan bernilai keseluruhan RM800,000 daripada firma modal teroka, NEXEA.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke berkata, melalui lima kohort yang telah berjaya dilaksanakan, pihaknya memperoleh pelbagai maklum balas yang akan digunakan untuk menambah baik program pemecut pada masa depan.

“Pelbagai pandangan daripada syarikat pemula di Malaysia kami terima selepas pelaksanaan program-program ini. 

“Jadi seterusnya kami fokus untuk meluaskan capaian program ini ke seluruh negara. Ini agar lebih banyak syarikat pemula dapat menerima sokongan yang diperlukan untuk berkembang dan menyumbang kepada ekonomi negara yang dipacu inovasi,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NEXEA, Ben Lim berkata, pihaknya menyaksikan perkembangan yang memberangsangkan dalam kalangan peserta program sepanjang penganjuran lima kohort. 

“Sepanjang lima kohort, kami menyaksikan perkembangan luar biasa. Contohnya Kohort 1 dan 2, 85 peratus syarikat mencatatkan peningkatan hasil tahunan antara 50 peratus hingga 100 peratus. 

“Keputusan ini membuktikan potensi sebenar pengasas Malaysia apabila diberikan bimbingan, pembiayaan dan sokongan ekosistem yang tepat,” katanya. 

Untuk rekod, antara syarikat yang dipilih termasuk Paix Tech Sdn. Bhd., Ocean Rich Resources Sdn. Bhd., Lekir Tech, Recharge Xolutions Sdn. Bhd. dan Tagy. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN