KUALA LUMPUR: microLEAP, platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) patuh syariah yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mencatatkan pembiayaan berjumlah RM55 juta menerusi 70 nota pelaburan pada suku kedua 2025.
Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 139 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Daripada jumlah itu, 69 nota pelaburan adalah patuh syariah sepenuhnya, dengan purata pulangan kasar tahunan kepada pelabur sebanyak 16.8 peratus, tidak termasuk program padanan kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar berkata, prestasi tersebut disokong oleh rangka kerja kredit yang kukuh serta pendekatan pengurusan risiko yang berdisiplin.
Katanya, ia sekali gus mengekalkan kadar gagal bayar platform pada hanya 0.4 peratus, jauh lebih rendah berbanding purata industri sebanyak 4.18 peratus.
“Menuju separuh kedua tahun 2025, microLEAP akan meneruskan strategi pertumbuhan serantau, memperluaskan penawaran produknya dan memperkukuh keupayaan pelabur, sambil terus memberi tumpuan kepada pembiayaan yang beretika dan berimpak,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, syarikat juga menyambut penyertaan 1,198 pelabur baharu dan menyertai 24 acara industri sepanjang suku berkenaan, mencerminkan peningkatan keyakinan dan penglibatan pelabur.
“Bagi memperluaskan akses kepada pembiayaan di kawasan luar bandar, syarikat telah membuka dua pejabat baharu di Kota Bharu, Kelantan dan Muar, Johor, sejajar dengan Pelan Tindakan 5 Tahun Suruhanjaya Sekuriti untuk memperkukuh keterangkuman kewangan dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS).
“microLEAP turut merancang untuk pengembangan operasi ke Indonesia dan Filipina, bermula di Jakarta dan Mindanao, dengan matlamat menawarkan pembiayaan patuh syariah serta menarik pelabur institusi Islam di rantau ini.
“Langkah itu telah mendapat pengiktirafan IFN Investor sebagai sebahagian daripada kepimpinan fintech Malaysia yang semakin menyerlah di peringkat ASEAN,” tambahnya.
Sementara itu, Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF) dalam laporan tahunannya menyatakan bahawa sebanyak 4,464 PKS mendapat pembiayaan P2P sepanjang tahun 2024, meningkat 24 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Walaupun bahagian MyCIF dalam jumlah kutipan dana P2P menurun daripada 13 peratus pada 2023 kepada 10 peratus pada 2024, aliran modal swasta meningkat dan mengisi kekurangan tersebut.
“Sejak ditubuhkan, MyCIF telah menyalurkan lebih RM1.1 bilion kepada kempen P2P, menyumbang kepada usaha menutup jurang pembiayaan PKS Malaysia yang dianggarkan melebihi RM90 bilion, khususnya bagi perniagaan kecil yang kurang mendapat akses daripada institusi kewangan tradisional.
“Malaysia kini muncul sebagai penanda aras serantau dalam model P2P berstruktur, dengan kadar gagal bayar yang lebih rendah berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Thailand yang masih bergelut dengan tahap risiko kredit lebih tinggi serta penyertaan institusi yang terhad,” katanya. – UTUSAN