SHAH ALAM: Mana-mana ahli parlimen mempunyai hak untuk membawa sebarang usul ke dalam Dewan Rakyat untuk dibahas dan diputuskan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, bagaimanapun ia bergantung kepada ahli Dewan Rakyat sama ada untuk menyokong usul itu atau sebaliknya termasuklah usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Dalam Parlimen ini, sesiapa juga Ahli Parlimen boleh membawa usul. Tiada sesiapa boleh melarang. Semua boleh membawa usul itu dan Parlimen yang akan menentukan ia nanti.
“Jadi, kalau dibawa ke Parlimen, masa itu kita lihatlah siapa dapat sokongan dan sebaliknya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam, hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan bahawa usul undi tidak percaya akan dipertimbang untuk dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam masa terdekat.
Beliau ketika menyertai Himpunan Pembangkang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam mengulas kenyataan Anwar pada Isnin lalu yang tidak gentar malah bersedia berdepan jika pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya itu.
Perdana Menteri memaklumkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat supaya membenarkan usul itu sekiranya ada dikemukakan di Parlimen.
Namun, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan pihaknya setakat ini tidak bercadang untuk berbuat demikian.
Undi tidak percaya bukan hanya boleh berlaku di Parlimen sebaliknya rakyat boleh melakukannya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Semua boleh membawa usul itu dan Parlimen yang akan menentukan ia nanti.”
Itu kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengenai ‘bayangan’ Perikatan Nasional (PN) yang mahu menghantar usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Menteri Perladangan dan Komoditi itu, semua Ahli Parlimen mempunyai hak untuk mengemukakan usul. – UTUSAN










