JOHOR BAHRU: Empat pegawai penguat kuasa yang disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 bagi kegiatan pasport terbang semasa bertugas di kaunter penyeliaan zon masuk motor di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini direman selama enam hari bermula hari ini.
Perintah reman sehingga 1 Ogos itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Mohammad Izham Mohd. Aliyas bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Terdahulu, kesemua tertuduh berusia lingkungan 20 hingga 40an tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada pukul 9.18 pagi dengan berpakaian baju lokap berwarna hingga dan bergari.
Semalam, akhbar melaporkan SPRM Johor telah menahan kesemua suspek itu telah ditahan di pejabat SPRM Johor kerana disyaki menerima rasuah melibatkan kegiatan pasport terbang.
Dua suspek utama telah ditahan oleh Unit Pematuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) semasa pemeriksaan dilakukan di kaunter CIQ BSI, Jumaat lalu.
Susulan penahanan tersebut, dua lagi pegawai penguat kuasa telah ditahan kerana disyaki bersubahat dalam kegiatan pasport terbang ini.
Semasa penahan dilakukan, sebanyak 14 pasport warga asing, empat unit telefon bimbit milik kedua-dua suspek utama dan juga wang rasuah bernilai kira-kira RM3,000 telah ditemui.
Siasatan awal mendapati wang tunai dan telefon bimbit yang ditemui mempunyai kaitan dengan transaksi rasuah melibatkan kegiatan pasport terbang.
Kesemua suspek dipercayai akan menerima wang rasuah bernilai kira-kira RM200 bagi setiap satu pasport yang dicop tanpa kehadiran pemilik pasport. – UTUSAN








