MDEC, BSN perkukuh kerjasama latih bakat digital belia

MDEC, BSN perkukuh kerjasama latih bakat digital belia

MAJLIS pertukaran MoU antara MDEC dan BSN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi melatih dan memperkasa bakat digital dalam kalangan belia tempatan, khususnya menerusi program Next Gen TeenXChange. 

Program tersebut merupakan kesinambungan inisiatif Digital Ninja sejak 2016 dan kini menjadi antara komponen utama di bawah MyDigitalMaker. 

Ia menyasarkan pelajar berumur 15 hingga 20 tahun yang menunjukkan potensi tinggi dalam bidang teknologi digital dan kepimpinan.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, Next Gen TeenXChange bukan hanya sebuah program pembangunan bakat, namun merupakan pelaburan strategik untuk masa depan negara. 

“Dengan ekonomi digital Malaysia yang diunjurkan menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025, pembangunan bakat digital kini menjadi keperluan penting negara. 

“Melalui inisiatif ini, kita dapat memperkasa generasi muda dengan kemahiran masa hadapan dan memastikan mereka bersedia untuk memacu pertumbuhan ekonomi digital yang inklusif, mampan dan berdaya saing di peringkat global,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, kerjasama tersebut melambangkan komitmen BSN dalam memupuk generasi celik digital dan kewangan melalui pendekatan pendidikan holistik.

“Sokongan kami terhadap program ini bukan sekadar pelaburan sosial, malah sebagai usaha memperkukuh asas masyarakat yang bersedia menyahut cabaran ekonomi digital,” ujarnya.

Kerjasama strategik itu dijangka memperluas capaian program Next Gen TeenXChange, melibatkan lebih ramai pelajar pelbagai latar belakang. Peserta akan dilengkapi dengan kemahiran teknologi, insaniah dan literasi kewangan, selaras usaha melahirkan pemimpin digital berdaya saing.

Sehingga kini, lebih 675 pelajar telah dilatih menerusi program tersebut, termasuk 250 pelajar perempuan yang kini aktif dalam bidang inovasi di peringkat universiti dan industri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN