KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memberi tumpuan terhadap pembangunan syarikat teknologi tempatan bagi membolehkan negara berkembang melahirkan syarikat multinasional (MNC) yang mampu bersaing di peringkat serantau dan global.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, landskap ekonomi baharu menuntut pendekatan yang lebih berani dan berwawasan termasuk peranan aktif pasaran modal dalam menyokong pertumbuhan syarikat berasaskan teknologi.
“Kita sering bercakap tentang membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), namun dalam amalan, banyak bantuan turut dinikmati MNC asing.
“Malangnya, kita masih belum cukup berusaha untuk melahirkan MNC berasaskan teknologi dari Malaysia dan ASEAN,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Mampan Pelaburan Bertanggungjawab dan Mampan (SRI) Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti – Perikatan Pembangunan Kapasiti Pelaburan (SIDC-CASI) 2025 di Suruhanjaya Sekuriti, di sini.
Beliau berkata, pasaran modal perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam menyokong pertumbuhan syarikat teknologi tempatan.
“Kita perlu melihat lebih banyak syarikat Malaysia berkembang menjadi MNC ASEAN dan seterusnya memiliki kehadiran global.
“Dalam 20 tahun akan datang, ASEAN perlu melahirkan ‘mini Samsung’, ‘mini Huawei’ atau ‘mini TSMC’ sendiri,” katanya.
Chin Tong berkata, Malaysia juga digesa supaya tidak terus bergantung sepenuhnya kepada Amerika Syarikat (AS) sebagai pengguna terakhir dalam perdagangan dan eksportnya.
“Negara perlu mempelbagaikan pasaran untuk mengurangkan risiko dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.
Persidangan selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Julai 2025 itu melibatkan lebih daripada 300 delegasi tempatan dan antarabangsa telah menghadiri persidangan ini yang bertemakan ‘Membentuk masa depan perniagaan ASEAN dalam kelestarian’.
Dalam pada itu, majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SIDC dan CASI memeterai kerjasama jangka panjang bagi memajukan pendidikan kewangan mampan dan pembangunan bakat di seluruh ASEAN dan rantau membangun yang lain.
MoU ini menetapkan rangka kerja strategik bagi kerjasama akademik dan profesional, dengan tumpuan kepada bidang yang memberi manfaat bersama serta membolehkan pelaksanaan inisiatif bersama pada masa hadapan bagi menyokong pembangunan kapasiti dalam kewangan mampan, khususnya di pasaran sedang membangun.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIDC, Tengku Zarina Tengku Chik berkata, kerjasama berterusan ini mencerminkan aspirasi bersama untuk meningkatkan kecekapan dalam kewangan mampan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di pasaran sedang membangun di Asia dan serantau.
Sempena persidangan ini, SIDC turut melancarkan program Certified Capital Market Professional in Sustainable and Responsible Investment 2 (CCMP-SRI 2), iaitu pensijilan lanjutan selama 12 minggu yang direka khas untuk profesional peringkat pertengahan hingga atas.
Program ini dibangunkan berdasarkan kejayaan CCMP-SRI 1, mencatatkan 71 penyertaan dan 70 graduan sejak 2024. – UTUSAN










