Malaysia optimis rundingan tarif AS teruskan sehingga 1 Ogos ini

Malaysia optimis rundingan tarif AS teruskan sehingga 1 Ogos ini

TENGKU Zafrul ketika sidang media khas bagi menjelaskan pendirian serta tindakan susulan Malaysia berhubung pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat di Menara MITI di sini, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia kekal optimis meneruskan perundingan dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) berhubung tarif import bagi mencapai situasi menang-menang bagi kedua-dua belah pihak sehingga 1 Ogos ini. 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, rundingan antara Malaysia dan USTR menunjukkkan perkembangan yang baik dan beberapa isu kecil dijangka dapat diselesaikan dengan baik.

Katanya, setakat ini, pihaknya telah melaksanakan sekurang-kurangnya 25 sesi libat urus berhubung pengenaan tarif berkenaan dengan rakan sejawat dari Amerika Syarikat (AS) dan optimis mampu mencapai persetujuan sebelum 1 Ogos.

“Pada masa sama, saya menegaskan terdapat beberapa garis merah yang perlu dipertahankan dalam rundingan berkenaan bagi menjaga kedaulatan dasar dan kepentingan nasional,” katanya kepada pemberita dalam sidang media mengenai tarif AS di Menara MITI, di sini.

Tengku Zafrul berkata, pihaknya tidak boleh berkompromi apabila ada isu tentang tadbir urus negara dan kesejahteraan rakyat. 

“Perbincangan ini bukan sahaja mengenai tarif, ia juga tentang halangan bukan tarif dan undang-undang kita sedia ada, yang dirasakan penting kepada kita.

“Ini adalah rundingan dan mereka tidak akan mengurangkan tarif tanpa kita mengalah kepada perkara tertentu, jadi perlu ada keseimbangan. Sekiranya kita mengalah kepada permintaan mereka, adakah ia memberi kesan kepada Malaysia?

“Jika ia memberi kesan negatif kita perlu mengatakan tidak,” katanya. 

Presiden AS, Donald Trump kelmarin mengumumkan pengenaan tarif import sebanyak 25 peratus ke atas Malaysia berkuatkuasa 1 Ogos ini, berbanding 24 peratus sebelum ini.

Tengku Zafrul turut memaklumkan, tarif yang dikenakan kepada Malaysia tidak begitu tinggi seperti negara Thailand dan Brunei. 

Katanya, kadar tarif yang dikenakan kepada Malaysia adalah sekitar 25 peratus, iaitu masih rendah berbanding negara serantau lain yang mencecah 32 hingga 46 peratus. 

Tengku Zafrul berkata, pihaknya akan membuat panggilan video bersama wakil USTR yang dijangka diadakan esok. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN