KUALA LUMPUR: Malaysia masih belum menemui sebarang bukti berlakunya perdagangan haram cip semikonduktor berteknologi tinggi, menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, pihak berkuasa kini sedang mendapatkan bantuan daripada Amerika Syarikat (AS) dalam siasatan berhubung dakwaan penyeludupan cip.
“Malaysia kini berada di bawah tekanan daripada AS untuk menyekat aliran cip penting ke China, khususnya cip yang digunakan dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI),” katanya kepada pemberita pada sidang media pengumuman Kad Laporan Prestasi MITI Suku Kedua 2025 di sini, semalam.
Sebelum ini, MITI mengesahkan pihaknya sedang menyiasat laporan mengenai sebuah syarikat China di Malaysia yang menggunakan pelayan (servers) yang dilengkapi cip Nvidia bagi tujuan pembangunan AI.
Minggu ini, kementerian turut mengenakan kawalan eksport ke atas pergerakan cip berprestasi tinggi yang berasal dari AS.
Tengku Zafrul berkata, langkah itu bertujuan mengelakkan penyalahgunaan teknologi sensitif dan memastikan Malaysia kekal mematuhi standard serta kewajipan antarabangsa.
“Kita mahu mengelakkan penyalahgunaan teknologi sensitif yang boleh digunakan untuk tujuan menyimpang, seperti cip AI
“Yang paling penting untuk industri serta ekonomi kita, kita mahu mengelakkan sekatan sekunder,” katanya.
Menurutnya lagi, kawalan eksport ke atas cip merupakan antara isu yang dibangkitkan oleh AS dalam perbincangan perdagangan bersama Malaysia berhubung tarif yang dikenakan ke atas barangan eksport negara ini.
Malaysia kini berdepan tarif sebanyak 25 peratus ke atas eksportnya ke AS, melainkan satu perjanjian perdagangan dapat dicapai dengan Washington sebelum 1 Ogos.
Tengku Zafrul menyuarakan kebimbangan terhadap kadar tarif tersebut, dan berkata beberapa perkara masih menjadi halangan dalam rundingan, namun enggan mendedahkan butiran lanjut memandangkan isu itu bersifat sensitif.
“Kita sukar bersetuju dengan terma rundingan jika kadar tarif masih tinggi, kerana kita sendiri tidak tahu syarat-syarat yang sebenar,” katanya. – UTUSAN