Kos rumah, yuran ejen jadi beban graduan baru bekerja

Kos rumah, yuran ejen jadi beban graduan baru bekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sebalik keinginan untuk hidup berdikari dan mencari kediaman sendiri, ramai graduan yang baru mula bekerja kini berdepan tekanan kewangan yang semakin berat akibat yuran ejen hartanah yang tinggi.

Isu ini semakin mendapat perhatian selepas tular di media sosial di mana yuran ejen mencecah ribuan ringgit, malah ada yang lebih tinggi daripada sewa bulanan, menyebabkan penyewa serba salah antara kemampuan dan keperluan.

Tidak semua penyewa muda mempunyai pengetahuan atau ruang untuk berunding ketika berdepan dengan ejen yang mengenakan pelbagai caj tambahan.

Menurut pekerja swasta, Daniel Isqandar Ahmad Bakri, 25, pengalaman mencari rumah sewa sebagai lepasan graduan sebenarnya tidak mudah seperti yang disangka.

Katanya, selain perlu mencari unit yang sesuai dengan citarasa, dirinya juga terikat dengan kemampuan kewangan kerana harga bilik di kawasan bandar selalunya sangat mahal.

“Susah sebenarnya sebab kita kena pilih ikut citarasa tapi pada masa yang sama kena ikut kemampuan juga. Kadang-kadang bilik yang dekat dengan tempat kerja atau kemudahan awam harganya boleh jadi dua kali ganda daripada bajet,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Daniel berkata, dia terpaksa mengambil masa agak lama untuk mendapatkan bilik yang sesuai kerana banyak unit yang dilihat terlalu mahal untuk gaji permulaan seorang graduan.

Ujarnya, dia lebih selesa berurusan terus dengan pemilik rumah tanpa melalui ejen kerana lebih mudah untuk berbincang dan tidak terbeban dengan caj tambahan.

“Saya memang tak suka guna ejen sebab saya tahu sewa akan jadi mahal bila ada ejen. Saya terus berbincang dengan tuan rumah, senang nak bincang semua benda termasuk deposit, tempoh sewa dan syarat-syarat lain.

“Ada rumah yang saya tengok minta deposit sampai dua tiga bulan gaji. Saya memang tak mampu dan terpaksa tolak. Saya baru habis belajar, baru nak mula kerja, mana ada duit simpanan banyak nak bayar sampai beribu-ribu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Daniel menyifatkan kadar bayaran yang dikenakan oleh ejen atau pemilik yang terlalu tinggi sebagai sangat membebankan, terutama kepada mereka yang baru memasuki alam pekerjaan.

“Mereka tak patut buat macam tu sebab kita pun tengah susah nak stabilkan kewangan. Kalau boleh pihak berkuasa kena tengok balik perkara ini sebab ramai yang kena bayar lebih daripada sepatutnya,” katanya.

Daniel berharap kerajaan dan pihak berkuasa dapat memperketat pemantauan terhadap yuran ejen dan mewujudkan garis panduan yang lebih tegas untuk melindungi penyewa.

“Kita bukan tak nak bayar, tapi biarlah berpatutan dan telus. Jangan sampai orang muda yang baru nak mula hidup pun dah terbeban dengan hutang sebab nak sewa rumah,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi graduan muda, Nor Aina Fatihah Azman, 25, yang telah bekerja hampir dua tahun di ibu kota turut berkongsi cabaran mencari rumah sewa yang sesuai.

Menurutnya, proses itu bukan sahaja memenatkan, malah sukar untuk mendapatkan unit yang memenuhi citarasa tanpa melangkaui kemampuan kewangan.

“Banyak benda kena fikir, bukan saja nak rumah yang selesa, tapi juga lokasi dekat dengan pengangkutan awam, kemudahan asas, pusat beli-belah,” katanya.

Nor Aina pernah berurusan dengan ejen tetapi memilih untuk beralih kepada pemilik rumah kerana yuran yang tinggi.

“Dulu masa pakai ejen, ada pilihan tanpa deposit tapi yuran ejen sampai RM300 lebih, agak mahal juga untuk kita yang baru kerja.

“Saya berharap pihak berkuasa seperti Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) atau Lembaga Penilai dapat memperketat pemantauan dan membantu golongan muda untuk mendapatkan rumah sewa yang berpatutan.

“Sekurang-kurangnya buat garis panduan jelas untuk golongan muda supaya kita tak kena bayar harga yang tak logik. Kita baru nak mula hidup, banyak komitmen lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×