PETALING JAYA: Malaysia memperkukuh komitmen terhadap transformasi industri apabila kilang sawit pintar pertama dunia yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dibangunkan oleh AIREI Sdn. Bhd. (AIREI), mula beroperasi sepenuhnya di Minsawi Industries (Minsawi) di sini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, kejayaan pelaksanaan teknologi AI di kilang itu membuktikan potensi inovasi tempatan dalam meningkatkan kecekapan operasi.
“Ini sekali gus mampu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan memenuhi kehendak pasaran global terhadap aspek kebolehkesanan (traceability) serta kelestarian.
“Apa yang telah dibangunkan oleh AIREI di Minsawi Industries bukan sekadar kilang pintar, ia adalah model masa depan.
“Inovasi seperti ini bakal menjadi standard baharu bagi industri sawit negara,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengadakan lawatan kerja rasmi ke Minsawi, merangkumi tinjauan ke Bilik Kawalan AI, kawasan ramp dan lantai operasi kilang serta sesi perbincangan bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AIREI, Surendran Kuranadan.
Kilang sawit pintar tersebut merupakan antara pencapaian terawal hasil penyelidikan AIREI dan berupaya memanfaatkan AI dalam meningkatkan produktiviti, kebolehlihatan sistem dan pembuatan keputusan berasaskan data masa nyata.
Dalam pada itu, Surendran berkata, antara hasil pelaksanaan teknologi AI di kilang berkenaan termasuk peningkatan kadar perahan minyak (OER) sebanyak 0.1 peratus, peningkatan masa operasi kilang antara lima hingga 10 peratus menerusi amalan penyelenggaraan ramalan dan pengurangan kebergantungan kepada tenaga kerja manual sebanyak 45 peratus.
“Ini sekali gus menyumbang ke arah penyelesaian jangka panjang isu buruh asing yang kini merangkumi lebih 77 peratus tenaga kerja industri sawit (MPOC, 2023).
“Pendekatan berteraskan AI itu terbukti memberi kesan ketara dan boleh diukur terhadap prestasi keseluruhan kilang sawit.
“Matlamat kami adalah untuk menawarkan penyelesaian pintar yang membolehkan operasi dijejaki dari ladang ke tangki, seterusnya memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju inovasi sawit di peringkat global,” katanya.
Malaysia kekal sebagai pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia dengan pengeluaran 18.55 juta tan minyak sawit mentah pada 2023, menyumbang kira-kira 25 peratus bekalan global, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Dengan lebih 400 kilang sawit beroperasi di seluruh negara, kejayaan perintis di Minsawi membuka potensi peluasan teknologi AI ke seluruh industri.
Ini seiring aspirasi Dasar Agrikomoditi Negara 2021–2030 (DAKN) yang menekankan pendigitalan dan kemajuan teknologi sebagai pemacu utama daya saing serta kelestarian industri. – UTUSAN










