Jualan perdagangan borong dan runcit cecah RM154.3 bilion

Jualan perdagangan borong dan runcit cecah RM154.3 bilion pada Mei

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdagangan borong dan runcit mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM154.3 bilion pada Mei, merekodkan pertumbuhan 4.4 peratus tahun ke tahun, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan runcit dan perdagangan borong. 

“Subsektor perdagangan runcit mencatatkan jumlah jualan RM67.1 bilion, meningkat sebanyak RM3.1 bilion atau 4.9 peratus tahun ke tahun. 

“Subsektor perdagangan borong pula mencatatkan RM68.2 bilion, meningkat sebanyak RM3.1 bilion atau 4.7 peratus tahun ke tahun, mencerminkan kestabilan aktiviti perniagaan dalam keseluruhan rantaian bekalan. 

“Bagi subsektor kenderaan bermotor mencatatkan jualan sebanyak RM19.0 bilion dengan kenaikan tahun ke tahun sebanyak RM0.2 bilion atau 1.2 peratus,” katanya dalam kenyataan. 

Selain itu, beliau berkata, transaksi pembayaran digital di Malaysia mencatatkan peningkatan tahunan yang kukuh pada Mei 2025, seiring dengan pertumbuhan sektor perdagangan.

Menurutnya, transaksi wang elektronik (e-money) melonjak sebanyak 70.2 peratus tahun ke tahun kepada RM21.5 bilion, mencerminkan peningkatan ketara dalam penggunaan kaedah pembayaran digital. 

“Transaksi melalui Real-time Retail Payments Platform (RPP) pula berjumlah RM289.4 bilion menggambarkan permintaan yang semakin meningkat terhadap pembayaran serta-merta. 

“Sementara itu, transaksi melalui Financial Process Exchange (FPX) berkembang sebanyak 21.1 peratus kepada RM39.2 bilion, didorong oleh peningkatan aktiviti perbankan dalam talian. 

“Transaksi kad kredit kekal stabil pada RM18.7 bilion, manakala transaksi kad debit merekodkan pertumbuhan sebanyak 8.0 peratus kepada RM14.1 bilion. 

“Secara keseluruhan, perkembangan ini mencerminkan perluasan berterusan saluran pembayaran digital selaras dengan perubahan corak perbelanjaan pengguna dan kemajuan digitalisasi dalam infrastruktur pembayaran di Malaysia,” katanya. 

Uzir Mahidin berkata, jualan runcit di kedai bukan pengkhususan merekodkan peningkatan sebanyak 4.0 peratus tahun ke tahun kepada RM25.9 bilion didorong terutamanya oleh peningkatan jualan di kedai runcit, pasar raya, pasar mini serta gedung serbaneka dan pasar raya. 

“Jualan runcit di kedai pengkhususan turut menunjukkan prestasi positif dengan pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus kepada RM14.1 bilion. 

“Prestasi ini disumbangkan oleh peningkatan jualan runcit barang farmaseutikal & perubatan, kosmetik, pakaian, barang kemas dan kasut. 

“Sementara itu, jualan runcit peralatan isi rumah merekodkan pertumbuhan 5.6 peratus tahun ke tahun, berjumlah RM7.7 bilion, dipacu terutamanya oleh jualan runcit tekstil, perkakasan rumah dan perabot. 

“Selain itu, jualan runcit bahan api kenderaan dan jualan runcit makanan, minuman dan tembakau turut mencatatkan pertumbuhan, masing-masing sebanyak 5.7 peratus dan 6.4 peratus,” katanya. 

Mengulas lanjut mengenai prestasi subsektor perdagangan borong, katanya, jualan borong barangan isi rumah mencatatkan peningkatan 7.4 peratus tahun ke tahun, mencapai RM14.7 bilion dipacu oleh jualan yang tinggi dalam barang farmaseutikal dan perubatan. 

“Jualan borong makanan, minuman dan tembakau juga menunjukkan pertumbuhan kukuh sebanyak 7.7 peratus kepada RM14.1 bilion disokong oleh peningkatan dalam jualan ikan dan makanan laut lain serta daging, unggas dan telur. 

“Dalam pada itu, lain-lain pengkhususan jualan borong juga menyumbang kepada prestasi keseluruhan subsektor ini dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 1.8 peratus kepada RM24.6 bilion. 

“Sementara itu, jualan borong jentera, kelengkapan dan bekalan mencatatkan pertumbuhan 5.1 peratus tahun ke tahun, berjumlah RM5.4 bilion, disokong terutamanya oleh peningkatan jualan dalam kelengkapan telefon bimbit dan telekomunikasi, jentera serta kelengkapan pembinaan dan kejuruteraan awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN