PETALING JAYA: Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka akan terus menjadi destinasi utama pelaburan asing Singapura, sekali gus memanfaatkan lokasi strategik Johor dan hubungan dua hala yang semakin kukuh antara kedua-dua negara jiran itu menurut CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, Johor berjaya mencatatkan pelaburan berjumlah RM30.1 billion pada suku pertama 2025, iaitu kira-kira satu pertiga daripada jumlah keseluruhan pelaburan Malaysia bagi tempoh yang sama.
Katanya, sebanyak RM26.9 bilion merupakan pelaburan langsung asing (FDI), didorong pelaksanaan inisiatif JS-SEZ serta pembaharuan dasar yang lebih mesra perniagaan.
“Singapura menjadi pelabur terbesar pada suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY25) menerusi 65 projek berjumlah RM28.3 bilion, mengatasi Amerika Syarikat yang berjumlah RM9.9 bilion dan China (RM7.9 bilion),” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kebanyakan syarikat Singapura masih mengekalkan ibu pejabat mereka di negara itu, namun memilih untuk membina fasiliti pembuatan dan pusat data di Johor bagi memanfaatkan kos operasi yang lebih rendah dan insentif SEZ.
“Banyak projek dari Singapura yang berpangkalan di negara itu atau menyasarkan permintaan pasaran kota singa itu, meneruskan trend yang bermula sejak 2023, apabila ia menjadi sumber FDI utama Malaysia,” katanya.
CIMB Securities memaklumkan, tempoh kelulusan pelaburan kini disingkatkan kepada hanya sebulan berbanding tiga bulan sebelum ini, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan pesat pelaburan ke negeri tersebut.
“Johor turut menyasarkan pelaburan antara RM60 bilion hingga RM100 bilion bagi sepanjang tahun ini, mengatasi pencapaian RM48.5 bilion pada tahun lalu,” katanya.
“Sebahagian besar pelaburan tertumpu kepada sektor berimpak tinggi seperti logistik, pusat data (DC) dan perkhidmatan perniagaan moden, sejajar peralihan Johor ke arah industri digital dan bernilai tinggi.
“Pelaburan itu juga dijangka menjana kira-kira 33,000 peluang pekerjaan, manakala beberapa kampus utama pusat data telah memulakan pembinaan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Johor sebagai hab infrastruktur data Asia Tenggara,” katanya.
Tambah firma penyelidikan itu, peningkatan hubungan dua hala dengan Singapura turut menyumbang kepada keyakinan pelabur, khususnya menerusi pembangunan Sistem Transit Rapid (RTS) yang dijangka siap menjelang 2026.
Malah, menurut CIMB Securities, terdapat potensi pelaksanaan semula projek mega Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur–Singapura (HSR) yang bakal mempertingkatkan kemudahan logistik kedua-dua negara.
Dalam pada itu, kadar realisasi pelaburan negara meningkat kepada 93 peratus pada suku pertama 2025 berbanding 89 peratus pada tempoh sama tahun lalu, manakala kadar realisasi FDI pula melonjak dua kali ganda kepada 26 peratus.
“Ini menunjukkan pelaksanaan lebih efisien dan keyakinan kukuh pelabur terhadap Malaysia,” katanya.
Namun begitu, CIMB Securities turut mengingatkan bahawa Johor masih perlu bersaing dengan zon khas lain seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand serta menangani isu jurang gaji dan pengekalan bakat, khususnya dengan Singapura.-UTUSAN