KUALA LUMPUR: Syarikat minuman teh, Teafe (M) Sdn. Bhd. dibawah jenama Gong Cha menerima peningkatan permintaan selepas mendapat pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ketua Pegawai Eksekutif Teafe (M) Sdn. Bhd., Billy Koh berkata, pihaknya menerima maklum balas positif daripada pelanggan muslim dan komuniti yang menitikberatkan halal.
“Pensijilan halal diterima sejak tiga tahun lalu dan kami melihat jualan turut meningkat. Malah, pelanggan merasa lebih yakin untuk membeli,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Jelas beliau, kini, separuh daripada cawangan Gong Cha telah mendapat pensijilan halal.
“Selain itu, syarikat juga mempunyai pasukan hal khas yang menjalankan audit berkala ke atas semua cawangan.
“Minuman kami tidak mengandungi sebarang produk haiwan, tetapi kami tetap mendapatkan pensijilan halal bagi memberi keyakinan penuh kepada pelanggan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan, Tan Han Yin berkata, pihaknya kini mempunyai hampir 60 cawangan dan sasaran seterusnya adalah untuk mencapai 100 cawangan.
“Namun begitu, kami tidak tergesa-gesa. Fokus utama kami adalah untuk berkembang ke bandar-bandar yang belum kami terokai.
“Proses pengembangan biasanya berlaku dengan lebih cepat apabila kami menerima maklum balas terus daripada pelanggan yang mencadangkan agar kami membuka cawangan di kawasan tertentu.
“Malah, cadangan dalaman daripada pasukan kami juga memainkan peranan penting dalam menentukan lokasi pengembangan seterusnya,” katanya.
Selain itu, sebelum ini, pihaknya menyasarkan pasaran teras antara usia 18 hingga 35 tahun.
“Namun selepas 14 tahun dalam perniagaan, kami berbangga untuk mengatakan bahawa kumpulan pelanggan kami kini telah berkembang dengan ketara, merangkumi usia dari 18 hingga 50 tahun,” katanya. – UTUSAN










