FMM bimbang tarif Trump jejas daya saing eksport

FMM bimbang tarif Trump jejas daya saing eksport

PEKERJA industri pembuatan sedang melakukan kerja-kerja pemasangan mesin di sebuah kilang di Taman Perindustrian Batu Kawan. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) berisiko menjejaskan kestabilan landskap industri yang sedia rapuh, mengancam daya saing eksport secara serius dan memberi tekanan tambahan kepada pengeluar, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) 

Presiden FMM, Soh Thian Lai berkata, sektor pembuatan kini sudah pun terjejas akibat tarif AS sebanyak 10 peratus sebelum ini serta tekanan kos domestik yang semakin meningkat.

Katanya, ini termasuk peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan semakan tarif asas elektrik yang paling memberi kesan kepada pengguna voltan tinggi.

“Pengumuman itu amat mengejutkan memandangkan rundingan intensif yang sedang berlangsung antara Malaysia dan AS yang dikendalikan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di bawah kerangka Pusat Arahan Geoekonomi Negara (NGCC),” katanya dalam kenyataan. 

FMM melahirkan kebimbangan itu susulan pengumuman terbaharu oleh AS berhubung pelaksanaan tarif balas sebanyak 25 peratus peratus secara menyeluruh ke atas semua produk dari Malaysia yang memasuki pasaran AS berkuat kuasa 1 Ogos 2025.

Thian Lai berkata, walaupun beberapa produk kritikal seperti semikonduktor dikecualikan, ekosistem yang lebih luas yang menyokong industri semikonduktor termasuk pembekal alat ganti, jentera dan perkhidmatan sokongan  masih terdedah kepada gangguan yang ketara. 

“Sebahagian besar eksport Malaysia seperti produk getah, tekstil, perabot dan komponen industri akan terkesan secara negatif, memberi tekanan tambahan kepada syarikat yang sudah pun berdepan dengan peningkatan kos input dan ketidaktentuan pasaran.

“FMM amat bimbang dengan kedudukan Malaysia yang semakin tidak kompetitif dalam landskap tarif global yang sedang berubah. 

“Walaupun cadangan tarif asal Malaysia sebanyak 24 peratus pada April 2025 adalah lebih rendah berbanding rakan serantau seperti Kemboja, Vietnam dan Thailand, kadar baru sebanyak 25 peratus meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang lebih berat sebelah.

“Ini memandangkan Vietnam telah berjaya mendapatkan perjanjian dua hala yang mengurangkan kadar mereka kepada 20 peratus,” katanya. 

Lebih memburukkan keadaan, negara anggota ASEAN lain seperti Singapura, Brunei dan Filipina tidak dinamakan dalam gelombang tarif terbaru ini. 

“Ketidaksamaan ini berisiko menyebabkan sumber AS dialihkan ke negara yang mempunyai kadar tarif lebih rendah, sekali gus menghakis pegangan pasaran Malaysia,” katanya. 

Menurut Thian Lai, peranan penting Malaysia dalam rantaian bekalan teknologi tinggi AS dan global terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik, peranti perubatan serta kejuruteraan ketepatan mesti ditegaskan dalam rundingan. 

“Rekod pematuhan Malaysia, hubungan pelaburan dan sumbangan nilai tambah perlu dijadikan asas untuk mendapatkan pelepasan atau layanan berbeza bagi mengelakkan kerosakan struktur jangka panjang terhadap kedudukan eksport negara.

“Memandangkan risiko yang semakin meningkat dan kedudukan Malaysia yang semakin tercicir berbanding negara serantau, FMM menggesa kerajaan untuk segera mempertingkatkan tindak balas diplomatik dan dasar secara menyeluruh. 

“Adalah penting usaha ini dipertingkatkan untuk mendapatkan penangguhan segera pelaksanaan tarif pada 1 Ogos 2025 dan seterusnya bekerja ke arah pengecualian atau pemansuhan jangka panjang,” katanya. 

Pada masa yang sama, Thian Lai berkata, langkah balas domestik perlu dilaksanakan untuk menyokong industri yang terjejas, termasuk bantuan kewangan bersasar, pengukuhan promosi eksport dan pelaksanaan segera reformasi struktur bagi meningkatkan kecekapan kos dan daya saing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN