FAMA sasar 50 cawangan Kopiesatu dalam 3 tahun

FAMA sasar 50 cawangan Kopiesatu dalam 3 tahun

ABDUL Rashid Bahri (tiga dari kanan) pada majlis perasmian pembukaan cawanagan Kopiesatu di Petron Pedas, di sini, semalam. - UTUSAN/ NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan sebanyak 50 cawangan Kopiesatu dalam tempoh tiga tahun akan datang, sekali gus mengangkat jenama kopi tempatan dalam kalangan usahawan setempat.

Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata, jenama kopi berkenaan yang mendapat permintaan menggalakkan itu telah membuka 23 cawangan di seluruh negara dan 13 daripada beroperasi di bawah pihaknya sendiri.

Menurutnya, 10 lagi cawangan diusahakan oleh usahawan melalui program pelesenan meliputi pelbagai kemudahan dan sokongan seperti pentadbiran, latihan, sistem perisian POS, uniform berjenama Kopiesatu, promosi, pemantauan serta sokongan pelesenan berterusan.

“FAMA sasar 50 cawangan Kopiesatu dalam masa tiga tahun (akan datang). Buat masa ini, kami lihat sambutan yang diterima luar biasa. Ini merupakan kejayaan terbaik kami dan kami bukan nak berlawan sangat dengan jenama lain. 

“Usaha utama kita lebih kepada untuk meningkatkan usahawan-usahawan kafe kopi pada kadar mampu milik. Setakat ni, cawangan Kopiesatu ada di pejabat kerajaan, stesen minyak dan lain-lain lagi.

“Walaupun kami tak terlalu agresif, tapi Kopiesatu ada segmen yang baik. Kopiesatu akan terus memainkan peranan penting dalam merancakkan sektor makanan dan minuman serta industri asas tani negara melalui penglibatan aktif usahawan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Perasmian Pembukaan Outlet Kopiesatu di Petron Pedas, di sini, semalam.

Untuk rekod, Kopiesatu merupakan jenama kopi tempatan milik penuh FAMA yang telah berada di pasaran sejak tahun 2001. 

Inisiatif berkenaan bukan sahaja menawarkan cita rasa kopi tempatan yang berkualiti tinggi, malah berperanan sebagai platform pembangunan usahawan, khususnya dalam bidang makanan dan minuman.

Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata, objektif utama penubuhan Kopiesatu adalah untuk menjadi peneraju kepada usahawan kecil dan sederhana dalam industri kopi, memenuhi permintaan terhadap produk kopi tempatan dan seterusnya mempromosikan industri asas tani negara. 

Malah menurutnya, Kopiesatu turut memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kewujudan jenama kopi tempatan yang berkualiti tinggi serta berdaya saing.

“Model perniagaan Kopiesatu ditawarkan secara pelesenan dengan yuran sebanyak RM20,000.

Antara pakej pelesenan yang ditawarkan termasuklah pakej kiosk, food truck (baharu dan sedia ada), serta push cart,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN