PETALING JAYA: Prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2025 dijangka tumbuh sekitar empat peratus, lebih rendah berbanding suku tahun pertama, 4.4 peratus.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pertumbuhan ekonomi mungkin lebih perlahan pada separuh kedua tahun ini, tetapi masih menunjukkan prestasi yang stabil pada suku kedua.
“Permintaan eksport sudah semakin berkurangan dan muatan hadapan juga pudar. Namun kerajaan sudah berusaha untuk mengurangkan tekanan ini.
“Bank Negara Malaysia (BNM) sudah turunkan kadar nisbah keperluan statutori (SRR) satu peratus pada Mei lalu, diikuti pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas minggu lalu kepada 2.75 peratus. Semua ini untuk suntik lebih banyak tunai dalam pasaran dan beri ruang kepada perniagaan untuk bernafas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, KDNK suku kedua dijangka tumbuh sekitar 4.25 peratus hingga 4.5 peratus.
Katanya, langkah bank pusat untuk mempertimbangkan semula sasaran unjuran KDNK negara bagi tahun ini adalah wajar, tepat dan perlu dilakukan.
“BNM sudah membuat pertimbangan untuk menyemak unjuran, selari dengan anggaran baharu oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini yang menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal sederhana tahun ini, sekitar 3.9 hingga 4.1 peratus.
“Ini juga penting untuk memberikan isyarat positif kepada pelaburan dan perdagangan, meningkatkan keyakinan pelabur serta merangsang semula perdagangan dua hala antara Malaysia dengan negara-negara lain mengikut prestasi pasaran dan ekonomi global,” jelasnya.
Mei lalu, BNM memberitahu, pihaknya dijangka menyemak semula unjuran KDNK dan akan diumumkan dalam tempoh satu hingga dua bulan.
Gabenor, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, unjuran baharu hanya akan dimuktamadkan selepas pihaknya memperoleh lebih kepastian mengenai dasar tarif Amerika Syarikat (AS) serta hasil rundingan perdagangan antara Malaysia dan ekonomi terbesar dunia itu.
Dalam pada itu, Penganalisis Ekonomi Fakulti Ekonomi, Perniagaan dan Perakaunan, Kolej Universiti i-CATS, Sarawak, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, pertumbuhan suku kedua masih disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, peningkatan pelaburan swasta serta pemulihan dalam sektor pelancongan dan perkhidmatan.
“Pertumbuhan masih ada, cuma lebih sederhana. Permintaan dalam negara, pekerjaan yang baik, harga yang stabil, semua itu masih menyokong ekonomi kita.
“Bagaimanapun, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menyemak semula unjuran rasmi pertumbuhan tahun ini memandangkan tekanan luar semakin meningkat.
“Ketegangan geopolitik dan dasar perdagangan proteksionis oleh beberapa ekonomi utama dunia perlu diberi perhatian. Kita tidak boleh anggap ia tidak menjejaskan kita,” ujarnya.
Jabatan Perangkaan Malaysia dijadualkan mengumumkan anggaran awal KDNK bagi suku kedua 2025 hari ini. – UTUSAN










