CIMB sasar RM300b pembiayaan lestari menjelang 2030

CIMB sasar RM300b pembiayaan lestari menjelang 2030

PEMBIAYAAN lestari menjadi tonggak utama pelan hala tuju kelestarian CIMB 2030.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) menyasarkan pembiayaan lestari sebanyak RM300 bilion menjelang 2030, sebagai sebahagian usaha memperkukuh komitmen dalam menyokong peralihan adil ke arah ekonomi rendah karbon dan lebih inklusif di rantau ASEAN.

Pembiayaan lestari menjadi tonggak utama pelan hala tuju kelestarian CIMB 2030 dan merupakan komponen penting dalam strategi Forward30 kumpulan tersebut. 

Sejak melancarkan pelan pembiayaan lestari pada 2021, CIMB telah meningkatkan sasarannya secara progresif daripada RM30 bilion kepada RM100 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2024, sebelum menggandakan komitmen tersebut ke tahap lebih tinggi hingga 2030.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif CIMB Group, Novan Amirudin berkata, sasaran itu adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding komitmen terdahulu, sejajar dengan matlamat kumpulan untuk memajukan pelanggan dan masyarakat.

“Kami memainkan peranan penting dalam menyokong pelanggan menerusi perjalanan kelestarian mereka, membolehkan mereka berkembang dalam persekitaran ekonomi rendah karbon. 

“Sebagai satu daripada bank terkemuka di ASEAN, CIMB komited untuk memberi impak sebenar melalui pengaliran modal ke arah perniagaan bertanggungjawab. 

“Ia turut melalui aktiviti yang mengurangkan pelepasan karbon, memelihara ekosistem dan membawa manfaat sosial yang bermakna agar tiada pihak yang ketinggalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, CIMB memahami cabaran yang dihadapi pelanggan, termasuk keperluan pelaporan mandatori seperti IFRS S2, risiko berkaitan iklim, alam semula jadi dan hak asasi manusia serta peningkatan tekanan rantaian bekalan daripada pelanggan.

“Peranan kami adalah membantu pelanggan mengurus cabaran ini agar dapat memperkukuh daya tahan perniagaan serta membuka peluang baharu,” katanya.

CIMB merancang untuk memperluas keupayaan pembiayaan lestari dengan menyokong pelan serantau dan nasional seperti Grid Kuasa ASEAN, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). 

“Kumpulan juga akan bekerjasama dengan pelanggan untuk mengamalkan tadbir urus bertanggungjawab dan mengurangkan impak daripada pelaksanaan cukai karbon atau kenaikan tarif elektrik bagi meningkatkan daya saing di pasaran global.

“Melalui khidmat nasihat dan penyelesaian kewangan inovatif seperti pembiayaan peralihan, pembiayaan karbon berasaskan alam semula jadi dan struktur pembiayaan campuran, CIMB menyediakan nilai jangka panjang sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap produk kewangan mesra alam dan sosial.

“Dalam pada itu, bagi memastikan tiada pihak yang terpinggir dalam peralihan kepada ekonomi mampan, CIMB turut menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam meningkatkan prestasi alam sekitar dan daya saing mereka. 

“Melalui program GreenBizReady, CIMB menyediakan pembiayaan dan khidmat nasihat berkaitan kelestarian bagi membantu perniagaan melaksanakan amalan lebih mampan, termasuk kadar pembiayaan yang lebih rendah,” ujarnya. 

Sementara itu, beliau berkata, di bawah program SMEBizReady pula, lebih RM990 juta pembiayaan telah diluluskan kepada hampir 500 PKS pada 2024, membolehkan pelaksanaan teknologi hijau, automasi dan digitalisasi termasuk e-invois bagi mengukuhkan operasi jangka panjang.

CIMB baru-baru ini diiktiraf sebagai institusi kewangan paling berpengaruh dalam kelestarian di peringkat global menerusi Financial System Benchmark oleh World Benchmarking Alliance, melonjak tiga anak tangga berbanding penarafan sulung pada 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN