KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) mengumumkan komitmen pelaburan sebanyak RM200 juta bagi tempoh lima tahun bermula 2026 hingga 2030 untuk memperkasa pelanggan dan komuniti di bawah inisiatif ‘Kita Bagi Jadi Komuniti’.
Platform itu memfokuskan tiga bidang utama iaitu pemerkasaan ekonomi jangka panjang, kesejahteraan komuniti dan keterangkuman kewangan, termasuk sokongan kepada golongan belia, komuniti tanpa khidmat bank dan kumpulan kurang mendapat perkhidmatan menerusi kemahiran hidup seperti literasi digital dan kewangan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, inisiatif CIMB selari dengan usaha kerajaan memperluas keterangkuman digital, terutamanya kepada kumpulan berpendapatan rendah, usahawan mikro dan golongan terpinggir.
“Usaha ini bukan sahaja mempromosi mobiliti sosioekonomi, tetapi turut menyokong produktiviti nasional dan daya tahan jangka panjang.
“Kami galakkan lebih banyak pemain industri mencontohi langkah CIMB,” katanya dalam ucaptama ketika Majlis Peluncuran Kita Bagi Jadi Komuniti di Sasana Kijang Bank Negara Malaysia, semalam.
Majlis peluncuran itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin; Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Malaysia dan CIMB Bank, Gurdip Singh Sidhu dan Ketua Pegawai Operasi TNG Digital, Mohd Herman Sarbini.
Sementara itu, Novan berkata, ketidaksamaan pendapatan yang tinggi menjadi penghalang kepada pertumbuhan mampan, justeru CIMB komited mewujudkan masyarakat inklusif melalui akses kewangan yang lebih luas dan kemahiran praktikal.
“Dengan memberi kemudahan seperti literasi digital, akses pembiayaan dan bimbingan, kami membantu komuniti menyumbang nilai kepada ekonomi. Pelaburan ini juga melibatkan 33,000 kakitangan CIMB di rantau ASEAN yang akan menyumbang 120,000 jam sukarelawan setiap tahun.
“Beberapa program bersasar turut dilancarkan di bawah platform ini, antaranya Women Entrepreneur Empowerment Programme, yang menawarkan pembiayaan dan rangkaian perniagaan kepada 300 usahawan wanita dalam tempoh tiga tahun.
“Selain itu, CIMB dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) memperkenalkan bengkel Jaga Duit bagi meningkatkan literasi kewangan pekerja berpendapatan rendah yang telah memanfaatkan hampir 1,500 peserta di seluruh negara.
“Program Let’s Duit oleh TNG Digital pula telah membantu kira-kira 1,000 warga emas memahami pembayaran digital secara praktikal dan mudah untuk menyesuaikan diri dengan ekonomi digital,” ujarnya. – UTUSAN










