KUALA LUMPUR: BYD Sime Motors, pengedar rasmi BYD di Malaysia melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak elektrik baharu, BYD ATTO 2 pada harga pengenalan sekitar RM100,000, menjadikannya antara model kenderaan elektrik (EV) paling mampu milik dalam kelasnya.
Model ini direka khusus untuk generasi muda, pemandu kali pertama serta pengguna yang ingin beralih kepada mobiliti elektrik tanpa berkompromi terhadap gaya dan prestasi.
Pengarah Urusan BYD Malaysia, Eagle Zhao berkata, ATTO 2 bukan sekadar sebuah kenderaan, sebaliknya satu pernyataan gaya hidup moden yang selari dengan cita rasa generasi baharu.
“Reka bentuknya yang bertenaga, semangatnya yang ceria serta ciri pintar menjadikannya sangat sesuai untuk mereka yang mengutamakan inovasi dan kelestarian.
“Kami juga berbangga untuk mengumumkan bahawa Malaysia ialah negara pertama yang melancarkan versi pacuan kanan BYD ATTO 2,” katanya pada majlis pelancaran di Heritage Valley, semalam.
Eagle berkata, BYD kini merupakan jenama kenderaan elektrik bateri (BEV) nombor satu di Malaysia dengan lebih 20,000 unit kenderaan Denza berada di atas jalan raya setakat ini.
Sejak memasuki pasaran Malaysia pada Disember 2022, BYD telah memperkenalkan model seperti Dolphin, SEAL, M6 dan Denza D-Line, memperkukuh lagi barisan produknya dalam pelbagai segmen.
Tambah beliau, BYD kini mempunyai lebih 40 cawangan di seluruh negara dan komited menyediakan perkhidmatan jualan serta selepas jualan terbaik untuk pelanggan tempatan.
“Kami yakin ATTO 2 akan memimpin gelombang baharu mobiliti elektrik di Malaysia dengan pendekatan yang lebih bersih, pintar dan cekap,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Sime Motors, Andrew Basham berkata, pelancaran ATTO 2 membuka peluang lebih luas kepada rakyat Malaysia untuk memiliki EV yang berteknologi tinggi dan mudah diakses.
“Selain harga yang kompetitif, kami turut menawarkan pelan pembayaran fleksibel serta bekerjasama dengan Power Up, syarikat pertama yang menyediakan perkhidmatan pengecasan mudah alih ke rumah, satu solusi ideal untuk penduduk di kediaman bertingkat.
“Kami juga menyasarkan untuk memperluas rangkaian BYD kepada 60 cawangan menjelang 2026 bagi memastikan sokongan menyeluruh kepada pelanggan di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN










