BS Fitness Nutrition perkasa jenama suplemen halal tempatan

BS Fitness Nutrition perkasa jenama suplemen halal tempatan

PRODUK keluaran BS Fitness.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Komitmen terhadap pematuhan syariah dan piawaian keselamatan makanan mendorong BS Fitness Nutrition (M) Sdn. Bhd., sebuah syarikat bumiputera tempatan, mendapatkan pensijilan halal bagi rangkaian produk makanan tambahannya sejak 2020.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raja Lokman Raja Ahmad berkata, langkah itu bukan sahaja memperkukuh keyakinan pengguna beragama Islam, malah turut membuka peluang lebih luas kepada syarikat untuk menembusi pasaran domestik dan antarabangsa.

“Produk makanan tambahan seperti ‘whey protein’ dan ‘mass gainer’ sering mengandungi bahan import yang status halalnya sukar dikenal pasti. 

“Oleh itu, usaha kami mendapatkan sijil halal yang diperoleh daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) penting menjamin kepercayaan pengguna dan menjadi bukti integriti pengeluaran kami.

“Walaupun proses mendapatkan pensijilan halal menuntut komitmen tinggi, termasuk memastikan setiap bahan mentah memiliki pensijilan sah dan diiktiraf Jakim, manfaat jangka panjangnya jauh lebih besar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, BS Fitness yang mengeluarkan sekitar 60 unit simpanan stok (SKU) produk suplemen di bawah jenama BS Nutrition turut bekerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN) bagi membangunkan produk andalan mereka, PERFORMAX.

Produk tersebut memenangi Anugerah Inovasi Teknologi Sukan Kebangsaan 2024 dan menyasarkan pengguna yang mengutamakan gaya hidup sihat dan aktif.

Raja Lokman berkata, antara cabaran utama dalam mendapatkan pensijilan halal adalah penyediaan dokumentasi terperinci seperti pelan aliran proses, carta organisasi halal, prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan kebersihan yang memerlukan kerjasama menyeluruh daripada semua jabatan.

“Namun, proses ini turut memberi impak positif kepada struktur operasi syarikat, menjadikannya lebih sistematik, telus dan patuh syariah.

“Sijil halal bukan sekadar dokumen, ia merupakan lambang kepercayaan dan tanggungjawab dalam penghasilan sesuatu produk,” katanya.

Katanya, pensijilan halal turut menjadi kunci akses kepada rangkaian pasar raya besar serta peluang membekalkan produk kepada agensi kerajaan. Ia juga memudahkan laluan eksport ke luar negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, BS Fitness merancang memperkukuh penembusan pasaran melalui saluran fizikal dan digital termasuk Shopee, selain menjalin kerjasama peruncit seperti ST Rosyam, AEON dan Lotus’s.

“Sebelum ini dengan hanya bermodalkan sekitar RM5,000 untuk pemasaran dan penjenamaan, kami mencatat pertumbuhan jualan sebanyak 70 peratus pada 2020 selepas aktif dalam platform e-dagang.

“Gabungan strategi pemasaran bersepadu secara dalam talian dan fizikal melonjakkan jualan kami sehingga tiga kali ganda. 

“Bagi 2024 pula, BS Fitness berjaya mencatat jualan sekitar RM12 juta dengan keuntungan bersih mencecah RM1 juta,” ujarnya. 

Sementara itu, beliau turut menyarankan agar pengusaha makanan dan minuman (F&B) mempertimbangkan mendapatkan pensijilan halal kerana ia bukan sahaja meningkatkan kepercayaan pengguna, malah menambah nilai jenama di pasaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×