ASM Automation tampil 17 sen sesaham di Pasaran ACE

ASM Automation tampil 17 sen sesaham di Pasaran ACE

CHAN Kok Heng (enam dari kiri) bersama wakil kumpulan di Bursa Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASM Automation Group Bhd (ASM Automation), pakar terkemuka penyelesaian jentera automasi di Malaysia membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities pada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 17 sen sesaham. 

Saham itu dibuka tanpa mencatat sebarang perubahan harga setakat jam 9.03 pagi dan mencapai paras tertinggi harian 17.5 sen sebelum susut semula kepada harga pembukaan.

Sebanyak 93.89 juta saham telah diniagakan, mencerminkan minat pelabur yang kukuh meskipun tiada pergerakan awal harga dengan kedudukan bidaan dan tawaran yang aktif serta jualan sedikit melebihi belian.

Syarikat melancarkan IPO melibatkan terbitan 128.34 juta saham baharu dan berjaya meraih RM21.82 juta menerusi IPO.

Pengarah Urusan, Chan Kok Heng berkata, penyenaraian itu menandakan detik penting dalam perjalanan syarikat.

Menurutnya, pencapaian tersebut mencerminkan dedikasi pasukan ASM Automation dan keyakinan pelabur terhadap hala tuju syarikat.

“Hari ini merupakan satu pencapaian penting buat ASM Automation apabila kami secara rasmi disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

“Ia membuka laluan untuk pertumbuhan masa depan apabila kami terus meluaskan capaian dan menambah baik penyelesaian dalam industri mesin automasi di Malaysia serta pasaran antarabangsa yang utama,” katanya dalam sidang akhbar secara maya selepas penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE, hari ini. 

Dalam pada itu, Kok Heng berkata, kumpulan turut berpuas hati dengan prestasi harga pembukaan saham yang mencerminkan kepercayaan pasaran.

“Ia mencerminkan keyakinan pelabur dan pasaran terhadap kami.

“Sambutan positif ini menjadi bukti kekuatan model perniagaan kami, rekod prestasi kukuh serta potensi besar dalam industri penyelesaian mesin automasi,” ujarnya. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, tumpuan syarikat selepas ini adalah untuk memperkukuh strategi pertumbuhan sambil mengekalkan kualiti pembuatan dan inovasi.

Ujarnya, keunikan kumpulan terletak pada kemampuannya untuk mencipta bentuk mesin yang sesuai mengikut keperluan pelanggan, bukan sekadar tawaran biasa dalam katalog.

“Kami komited untuk terus mencipta nilai kepada pemegang saham menerusi pelaksanaan strategi pertumbuhan mampan dan peningkatan daya saing produk kami.

“Kami bukan sekadar menjual mesin sedia ada. Kami ukur ruang pelanggan, faham produk yang mereka mahu hasilkan dan sesuaikan rekaan mengikut keperluan mereka.

“Sebab itu pelanggan datang semula kepada kami kerana penyelesaian kami benar-benar direka khas untuk mereka,” jelasnya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN