KUALA LUMPUR: Kumpulan AFA Infrastructure and Development (AFA) optimis dapat menyiapkan projek pelebaran Lebuhraya KL-Karak (KLK) dalam tempoh 40 hingga 42 bulan, lebih awal berbanding jangkaan asal selama 48 bulan.
Pengerusinya, Tan Sri Azmil Khalili Khalid berkata, projek tersebut dijangka dijadual bermula pada suku kedua 2025, manakala kerja-kerja mitigasi banjir di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) sudah pun dimulakan.
Menurut beliau, pelaksanaan projek yang tersusun dan koordinasi berkesan bersama pihak berkepentingan membolehkan pembinaan disiapkan lebih awal daripada tempoh kontrak asal.
“Tempoh pembinaan kontrak adalah selama 48 bulan, namun kami yakin ia dapat disiapkan dalam 40 hingga 42 bulan.
“Kerja-kerja pembesaran ini penting bagi mengurangkan kesesakan teruk serta memulihkan tahap perkhidmatan lebuh raya yang merosot ke Tahap D sejak pandemik Covid-19,” katanya dalam temu bual bersama Utusan Malaysia baru-baru ini.
Beliau berkata, pelebaran melibatkan peningkatan kepada lapan lorong dari Gombak ke Genting Sempah berbanding enam lorong ketika ini dan dari empat kepada enam lorong bagi laluan Genting Sempah ke Bentong.
“Projek ini sebahagian daripada komitmen jangka panjang kami untuk memastikan tahap perkhidmatan lebuh raya mencapai standard yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.
“Bagaimanapun, pelaksanaannya yang dianggarkan bernilai RM2.3 bilion hanya akan dimuktamadkan sebelum September ini, tertakluk kepada kelulusan pembiayaan kerajaan,” ujarnya.
Projek pelebaran KLK melibatkan jajaran dari Kilometer 19.2 hingga Kilometer 64.5, iaitu antara Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong.
Ia dilaksanakan susulan peningkatan trafik secara berterusan, terutama pada hujung minggu dan musim perayaan, dengan tumpuan terhadap aspek keselamatan dan kecekapan masa depan.
Dalam pada itu, Azmil Khalili berkata, AFA komited menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam setiap projek yang dilaksanakan.
Katanya, semua kontraktor diwajibkan menggunakan bahan binaan lestari serta mengekalkan kawasan hijau dan laluan hidupan liar di sepanjang LPT1.
“Kami amat mengambil berat aspek pemeliharaan alam sekitar, khususnya keselamatan hidupan liar seperti harimau.
“Pembinaan ini tidak seharusnya merosakkan habitat semula jadi atau mengancam ekosistem, selari dengan komitmen AFA untuk membangunkan infrastruktur negara yang moden dan bertanggungjawab,” katanya.
Mengulas prospek masa depan, beliau memaklumkan AFA kini turut mengembangkan operasi di peringkat serantau, termasuk Cotabato di Filipina dan Arab Saudi.
“Di Filipina, AFA terlibat dalam projek pembinaan lebuh raya, pusat pentadbiran baharu dikenali sebagai ‘Mini Putrajaya’, serta pembangunan Kota Batu di bawah Kerajaan Autonomi Bangsamoro.
“Kami juga menyertai sektor minyak dan gas melalui syarikat Petronnic serta sedang meneroka peluang di beberapa negara strategik lain,” katanya.
AFA merupakan pemegang konsesi bagi Lebuhraya KLK dan LPT1 melalui anak syarikatnya, AFA Prime Berhad, selain memiliki entiti pembinaan, penyelenggaraan, sistem kutipan tol dan penyedia tenaga kerja khusus. – UTUSAN










