ACIIA 2025 bawa peranan juruaudit dalaman hadapi cabaran krisis

ACIIA 2025 bawa peranan juruaudit dalaman hadapi cabaran krisis

SUHAILAH MOHAMED ABDULLA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persidangan Gabungan Institut Juruaudit Dalaman Asia (ACIIA) 2025 yang dianjurkan oleh Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIAM) bakal menghimpunkan lebih 1,500 delegasi melibatkan 17 negara. 

Persidangan yang berlangsung pada 9 dan 10 September depan di Kuala Lumpur akan memberi tumpuan kepada peranan kritikal juruaudit dalaman dalam membina daya tahan serta kepercayaan organisasi menghadapi cabaran semasa.

Bertemakan “Audit dalaman dalam era pelbagai krisis: menyesuaikan diri, memberi jaminan dan maju ke hadapan”, persidangan dua hari itu akan membincangkan isu-isu utama seperti ketidaktentuan ekonomi, risiko iklim, keselamatan siber, penipuan perolehan serta pematuhan terhadap amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Presiden IIAM, Suhailah Mohamed Abdulla berkata, ACIIA 2025 akan menjadi platform penting dalam memperkasakan sektor korporat menghadapi tekanan terhadap tadbir urus dan ketelusan, terutamanya dalam suasana geopolitik yang tidak menentu.

“Juruaudit dalaman kini berperanan sebagai penasihat utama kepada lembaga pengarah dan perniagaan dalam menangani risiko yang semakin kompleks dan multidimensi. Mereka diberi kepercayaan untuk menyediakan rangka kerja pematuhan yang kukuh bagi membantu organisasi mengekalkan kepercayaan pelabur dan awam,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. 

Beliau turut menekankan kepentingan memperluas bilangan juruaudit dalaman bertauliah di Malaysia bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara dan menarik pelaburan asing.

“Walaupun terdapat lebih 1,000 syarikat tersenarai di Malaysia, hanya sekitar 800 juruaudit dalaman bertauliah (CIA) yang berdaftar.

“IIAM mensasarkan untuk menggandakan bilangan ini dalam tempoh lima tahun menerusi program latihan dan kerjasama strategik,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan kapasiti, IIAM kini menganjurkan lebih 90 bengkel, persidangan dan program pensijilan tahunan termasuk di Sabah dan Sarawak. 

Pada tahun 2024, lebih 120 juruaudit dalaman menerima sijil ESG yang diiktiraf di peringkat global.

Dengan pelancaran Piawaian Audit Dalaman Global yang baharu, ACIIA turut menyediakan panduan kepada organisasi tempatan dan serantau dalam melaksanakan piawaian tersebut, sekaligus memperkukuh kemahiran audit profesional.

Persidangan ini dijangka memberi manfaat besar kepada ahli lembaga pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan pegawai risiko dan pematuhan, profesional ESG serta juruaudit dalaman dari sektor awam, swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dengan penglibatan barisan penceramah bertaraf antarabangsa.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN