A1 A.K Koh Group catat IPO kekal, 25 sen sesaham di Pasaran ACE

A1 A.K Koh Group catat IPO kekal, 25 sen sesaham di Pasaran ACE

Pengeluar makanan dan minuman (F&B), A1 A.K. Koh Group Berhad (A1 AK Koh) mencatatkan penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd. pada harga 25 sen sesaham, kekal pada paras harga tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengeluar makanan dan minuman (F&B), A1 A.K. Koh Group Berhad (A1 AK Koh) mencatatkan penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd. pada harga 25 sen sesaham, kekal pada paras harga tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu.

Menerusi penyenaraian berkenaan, syarikat berjaya meraih dana RM27.3 juta, antaranya RM5 juta diperuntukkan bagi pembinaan kilang baharu yang akan dibina bersebelahan loji sedia ada, manakala RM1.8 juta lagi bagi menaik taraf fasiliti pengeluaran di Senai.

Selain itu, RM8 juta akan digunakan bagi tujuan pemasaran dan promosi, RM4 juta untuk modal kerja serta RM4 juta lagi bagi pembayaran balik pinjaman bank. 

Baki RM4.5 juta pula akan digunakan untuk menampung kos berkaitan penyenaraian.

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Koh Lian Jie berkata, dana berkenaan akan dimanfaatkan bagi mengembangkan operasi serta memperluaskan capaian jenama ke pasaran antarabangsa.

Menurutnya, syarikat menjangkakan permintaan terhadap produknya meningkat secara sederhana bagi tahun kewangan 2026, bergantung kepada prestasi semasa ekonomi global.

“Kami mengambil pendekatan konservatif dalam unjuran pertumbuhan dan kini dalam fasa memperkukuh asas syarikat bagi menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang.

“Kilang baharu dijangka mula dibina pada 2027 sebagai sebahagian daripada perancangan pengembangan masa depan,” katanya pada sidang media penyenaraian syarikat itu di sini semalam.

Dalam prospektus yang diterbitkan di Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan kilang baharu berkenaan akan terdiri daripada dua bangunan, iaitu ruang lantai pengeluaran seluas 17,000 kaki persegi dan ruang penyimpanan seluas 17,000 kaki persegi.

Bangunan itu dijangka siap pada suku keempat 2026, manakala barisan pengeluaran separa automasi dijangka mula beroperasi pada suku keempat 2027.

Mengulas lanjut, beliau berkata, syarikat merancang menambah satu hingga dua pengedar baharu dalam pasaran domestik, termasuk dalam segmen hotel, restoran dan kafe (HoReCa), di samping meneroka pasaran luar negara.

“Segmen HoReCa menunjukkan pertumbuhan ketara pasca pandemik dan kami melihat potensi besar di situ.

“Fokus kami kini turut terarah kepada negara-negara Barat untuk memperkenalkan produk berperisa tempatan seperti laksa. 

“Buat masa ini, kami sedang aktif menyertai pameran seperti Food & Hotel Asia (FHA) dan Thailand International Food Exhibition (TIFEX) untuk mencari pelanggan berpotensi,” katanya.

Dalam pada itu, syarikat menyasarkan pertumbuhan bahagian pasaran antara lima hingga 10 peratus dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, menerusi peluasan rangkaian produk dan pengedaran.

“Selain itu, ketika ini, eksport menyumbang 22 peratus kepada hasil syarikat dan selebihnya 77 peratus daripada pasaran tempatan. Jadi, kami menyasarkan komposisi ini berubah kepada 35 peratus eksport dan 65 peratus tempatan,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN