SHAH ALAM: Kesemua cawangan ZUS Coffee menjalani proses pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Status halal amat dititikberatkan ZUS Coffee menerusi penubuhan pasukan halal dalaman bagi memastikan pematuhan berterusan di semua cawangan.
Ketua Pegawai Operasi ZUS Coffee, Venon Tian berkata, pengesahan halal tersebut diperoleh ketika mereka melancarkan cawangan ke-100 pada Julai 2022.
Katanya, ZUS Coffee melihat pelanggan amat menghargai kualiti minuman dan makanan yang disediakan.
“Kami telah mewujudkan pasukan halal dalaman dan pasukan kami menyedari bahawa halal bukan sekadar pematuhan dari segi agama, ia juga merangkumi piawaian tinggi dalam aspek kualiti dan keselamatan.
“Oleh itu, pasukan halal dalaman kami dan pasukan jaminan kualiti bekerjasama rapat untuk memastikan keselamatan makanan, mematuhi piawaian kualiti dan mengekalkan integriti halal sepanjang proses tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Venon berkata, pengesahan sijil halal itu memastikan pelanggan tidak merasa was-was terhadap produk ZUS Coffee.
“Kami tidak mahu pelanggan ZUS Coffee merasa kurang selesa dan memberi jaminan produk kami selamat untuk dimakan atau diminum.
“Malah dengan pengesahan halal ini, segala amalan operasi yang dilaksanakan di ZUS Coffee mematuhi piawaian tertentu yang telah ditetapkan,” katanya.
Ketika ini, ZUS Coffee mempunyai lebih 6,000 pekerja tempatan di seluruh negara.
Sehingga kini, ZUS Coffee telah menembusi pasaran luartermasuk Filipina, Singapura dan Brunei.-UTUSAN










