UOB Malaysia tetapkan Sukuk Wakalah Tahap 2 RM750 juta

UOB Malaysia tetapkan Sukuk Wakalah Tahap 2 bernilai RM750 juta

UOB Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UOB Malaysia berjaya menetapkan harga Nota Jangka Sederhana Islam Subordinat Tahap 2 selaras dengan keperluan Basel III bernilai RM750 juta (Sukuk Wakalah Tahap 2) pada 19 Jun lalu.

Sukuk berkenaan merupakan sebahagian daripada Program Sukuk Wakalah UOB Malaysia bernilai RM5 bilion yang ditubuhkan pada Januari 2024 di bawah prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, pihaknya berbesar hati dengan sambutan menggalakkan pelabur terhadap tranche kedua program Sukuk Wakalah tersebut selepas kejayaan terbitan sulung tahun lalu.

“Terbitan yang diperbesarkan ini mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap kekuatan kredit serta hala tuju strategik jangka panjang UOB Malaysia.

“Ia juga menyerlahkan kedalaman dan kematangan pasaran modal hutang Islam di Malaysia yang terus menarik pelabur terpelbagai dan berkualiti tinggi. 

“Hasil ini mengesahkan daya tahan sistem kewangan negara dan keteguhan asas ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Pada asalnya, ia disasarkan berjumlah RM500 juta, namun tawaran Sukuk Wakalah Tahap 2 dinaikkan kepada RM750 juta berikutan permintaan kukuh daripada lebih 20 pelabur berkualiti tinggi yang terdiri daripada syarikat insurans, pengurus dana, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLC), bank dan bank swasta.

Sukuk Wakalah Tahap 2 itu ditetapkan pada kadar keuntungan 3.85 peratus setahun, mewakili tebaran 36 mata asas melebihi penanda aras tujuh tahun Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS). 

Sukuk ini dijadual diterbitkan pada 3 Julai ini dan akan matang pada 3 Julai 2037 dengan pilihan penebusan pada 2 Julai 2032.

Dalam pada itu, Sukuk Wakalah Tahap 2 yang menerima penarafan AA1 oleh RAM Ratings tersebut layak sebagai Modal Tahap 2 UOB Malaysia pada asas disatukan di bawah Rangka Kerja Kecukupan Modal (Komponen Modal) untuk bank-bank Islam oleh Bank Negara Malaysia.

UOB Malaysia dan CIMB Investment Bank bertindak selaku Pengurus Utama Bersama bagi urus niaga tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN